Kesilapan Dubravka bawa padah

WOLVERHAMPTON, 12 Feb – Penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka menjejaskan peluang pasukannya untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran ketika kesilapan lewatnya menghadiahkan Wolves keputusan seri 1-1 dalam saingan liga, awal pagi tadi.

Skuad Rafael Benitez itu hanya beberapa saat daripada mencipta kemenangan berharga di Molineux selepas jaringan sulung Isaac Hayden sejak 2017 membolehkan mereka mendahului.

Jaringan Hayden terhasil menerusi usaha menyelamat yang lemah daripada penjaga gol Wolves, Rui Patricio.

Namun, kesilapan lewat permainan Dubravka yang mencuri tumpuan apabila penjaga gawang dari Slovakia itu membenarkan bola hantaran lintang menjangkaui tangannya sebelum ditanduk masuk Willy Boly pada waktu kecederaan.

Dubravka akan menjadi mangsa kecaman utama di Tyneside selepas kesilapan terbaharunya ini, beberapa hari selepas sekadar melihat bola percubaan Son Heung-min melepasi celahan kakinya untuk menghadiahkan Tottenham jaringan kemenangan.

Pemain Wolves, Raul Jimenez dan pemain Newcastle, Sean Longstaff berebut bola semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di Molineux, awal pagi kelmarin. – AP

Dengan pemilik Newcastle, Mike Ashley menonton dari kawasan tempat duduk penyokong, ia sukar diterima Benitez, yang menolak untuk melindungi Dubravka apabila ditanya mengenai jaringan lewat itu.

“Kami boleh melakukan dengan lebih baik. Sepatutnya situasi bola seperti ini boleh diselamatkan, tumbuk bola itu dan ia selesai,” katanya.

Ditanya sama ada Boly ada menolak penjaga golnya, Benitez menambah: “Ia tidak jelas apabila melihat ulang tayang. Apapun kami perlu bertahan dengan lebih baik. Dia (Dubravka) perlu lebih kuat.”

Newcastle kini hanya dibezakan satu mata dengan zon penyingkiran manakala Wolves kekal di tangga ketujuh dengan 39 mata.

Newcastle berada di depan pada minit ke-56 selepas Fabian Schar membuat hantaran leret kepada Hayden untuk meledak gol, tetapi tendangannya itu sepatutnya dapat diselamatkan Patricio yang ditewaskan di sisi gawang selepas usaha penyelamatannya gagal dan sebaliknya memasukkan bola ke gawang.

Namun, Wolves menyamakan kedudukan 1-1 apabila Dubravka gagal untuk membuat aksi penyelamatan bagi membenarkan Boly menanduk masuk bola ke gawang pada minit ke-95 perlawanan. – AFP