PARIS, 11 OKT – Mikel Oyarzabal menghukum kesilapan yang dilakukan oleh ketua pasukan skuad Switzerland, Granit Xhaka untuk mencatat kemenangan 1-0 buat Sepanyol di Liga Negara-Negara UEFA kelmarin.
Perlawanan yang dilangsungkan di Estadio Alfredo Di Stefano di Madrid, yang merupakan padang utama bagi pasukan simpanan Real Madrid, penyerang Real Sociedad, Oyarzabal menyumbat gol pada minit ke-14 perlawanan.
Switzerland mengambil risiko dengan bermain dari bahagian pertahanan, tetapi Xhaka buat kesilapan selepas dia cuba untuk merebut bola hasil hantaran penjaga gol, Yann Sommer.
Mikel Merino membuat asakan dan melorongkan bola kepada Oyarzabal, dan kemudian menyudahkan bola melepasi Sommer.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan menambah tiga mata,” beritahu Oyarzabal kepada televisyen Sepanyol.
“Kami tahu bahawa Switzerland adalah sebuah pasukan yang hebat, mereka gemar untuk bermain dan meraih beberapa mata yang mereka kurang layak menerimanya.
“Kami juga tahu mereka mengambil terlalu banyak risiko untuk bermain dari bahagian bawah dan kami mahu memberi tekanan kepada mereka kerana kami percaya kami mungkin akan merebut bola dari mereka dan mengecewakan mereka dan cara tersebut berkesan.”
Peluang keemasan untuk Oyarzabal untuk menggandakan kedudukan hadir pada minit ke-52.
Switzerland sekali lagi bergelut untuk mengeluarkan bola dari kawasan mereka, Jesus Navas membuat hantaran ke kawasan kotak penalti di mana Sommer hanya mampu menampan bola tepat ke Oyarzabal.
Percubaan penyerang tersebut bagaimanapun singgah ke tiang gol lalu tersasar.
Kemudian giliran Merino yang mensia-siakan peluang. Selepas sejam perlawanan, bola cuba dikeluarkan selepas sepakan penjuru lalu singgah ke kaki kanan pemain tersebut dan dia membuat percubaan tetapi tersasar di hadapan pintu gol.
Sergio Ramos kemudian membuat percubaan tetapi berjaya dihalang oleh Xhaka sebelum tandukan tersasar selang beberapa saat kemudian semasa Sepanyol sedang mendahului perlawanan. – AFP