Saturday, September 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Kesilapan yang biasa dilakukan pemancing

    Oleh Raz AS

    Memancing bukanlah aktiviti yang sukar dan rumit, namun tidak dinafikan akan selalu terjadinya kesilapan dilakukan oleh pemancing, baharu mahu pun lama, yang boleh menyebabkan peluang mereka untuk mendaratkan ikan semakin berkurangan atau sama sekali hilang.

    Kesilapan-kesilapan ini semuanya berunsur teknikal sama ada seperti dari segi peralatan, teknik dan lain-lain.

    Salah pilih joran
    Meskipun seorang pemancing itu tidak perlu memiliki banyak joran atau membeli setiap jenis joran yang ada di pasaran, namun joran yang digunakan perlulah bersesuaian dengan spesies sasaran.

    Joran yang terlalu lembut tidak mempunyai kekuatan tulang belakang yang cukup untuk membenam mata kail ke mulut ikan yang keras atau bersaiz besar, manakala, joran yang terlalu karau pula bukan saja sukar untuk mengesan getuan halus ikan bersaiz kecil bahkan boleh menyebabkan mata kail tercabut dari mulut ikan yang lembut.

    Tidak menukar mata kail
    Dalam perihal memancing, istilah ‘jangan ditukar selagi tidak rosak’ tidak selalunya dapat diaplikasikan terutamanya bab mata kail.

    Memancing tidak susah tetapi peluang mendaratkan ikan akan berkurangan sekiranya pemancing melakukan kesilapan. – Agensi

    Mata kail lama yang telah digunakan berulang-ulang akan kehilangan ketajamannya.

    Mata kail tumpul tidak akan memberikan solid hook up dan menyebabkan ikan yang memakan umpan mudah terlepas.

    Tidak memeriksa keadaan tali
    Memang ramai pemancing yang kerap memeriksa keadaan tali perambut setiap beberapa kali lontaran dibuat, tetapi ramai juga yang mengabaikan tali pancing yang ada dalam spool mereka.

    Tali dalam spool perlulah sentiasa diperiksa sekurang-kurangnya sebulan sekali atau mengikut kekerapan awda turun memancing.

    Keluarkan tali dari spool kira-kira sebanyak mana yang selalu dipakai dan periksa sekiranya ada ‘luka-luka’ dan potong, manakala tali lama perlulah ditukar sepenuhnya kerana berkemungkinan ia sudah rapuh.

    Salah pilih umpan
    Sama ada umpan konvensional hidup atau mati, mahupun palsu, tidak semua ikan akan memakan apa sahaja umpan yang dihulurkan.

    Mengenal pasti diet utama spesies yang diburu dan memerhatikan diet-diet yang terdapat di kawasan kita memancing membolehkan kita untuk memilih umpan yang terbaik untuk mengoda ikan menelan mata kail di hujung tali pancing.

    Tidak bersiap lebih awal
    Persiapan awal boleh menjadi kunci kejayaan dalam sesuatu trip memancing. Persiapan perlulah dibuat sekurang-kurang sehari sebelum turun memancing, dengan perambut sudah sedia diikat dan peralatan serta umpan sudah tersedia awal.

    Gagal untuk membuat persiapan bukan sahaja akan membuatkan masa seharian yang berharga untuk memancing terbuang begitu sahaja kerana ‘baru tah kial-kial’ membuat perambut atau mencari umpan, bahkan barang-barang serta peralatan penting juga berkemungkinan akan bertinggalan di rumah.

    Tidak memeriksa jadual
    Gagal memeriksa jadual pasang surut dan jadual ramalan cuaca boleh menjadi resepi kegagalan trip memancing, pemancing yang berpengalaman tahu bagaimana pergerakan air pasang surut dan cuaca boleh mempengaruhi hasil tangkapan di mana dia memancing.

    Bukan itu sahaja trip memancing boleh bertukar menjadi mimpi ngeri sekiranya tiba-tiba ribut melanda ketika berada di tengah laut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Singa baham tuan

    TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk...