Kesinoniman bunga Congea Tomentosa dengan orkid

DIKENALI dengan nama jolokannya, Shower Orchid atau orkid mandian paip hujan, Congea Tomentosa adalah spesies tumbuhan liar yang terdiri daripada keluarga tumbuhan Verbenaceae.

Ia memiliki nama sedemikian berikutan daripada merujuk kepada bilangan bunga yang banyak pada satu tangkai sehingga ia juga menampakkan penampilan bunga yang kelihatan seperti bunga orkid.

Saiz bunganya yang sebenar adalah kecil berbentuk agak ringkas yang hanya mempunyai tiga kelopak sahaja tetapi banyak pada satu-satu tangkai.

Ia adalah sesuai untuk ditanam sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang cantik berwarna putih dan boleh berkembang dengan mekar pada jangkamasa yang agak lama.

Di samping itu, ia juga turut digelar sebagai pokok Wooly Congea mungkin kerana merujuk kepada penampilan bunganya yang banyak itu pada setiap tangkai.

Congea Tomentosa memiliki bunga berkelopak tiga berbentuk kecil dan mirip seperti orkid.
Congea Tomentosa memiliki bunga berkelopak tiga berbentuk kecil dan mirip seperti orkid.
Congea Tomentosa merupakan sejenis tumbuhan liar dari keluarga tumbuhan Verbenaceae.
Congea Tomentosa merupakan sejenis tumbuhan liar dari keluarga tumbuhan Verbenaceae.

Ia sebenarnya adalah sejenis pokok pemanjat berbatang lembut serta memerlukan sokongan untuknya memanjat.

Daunnya juga adalah terdiri daripada jenis ringkas berwarna hijau kekuningan ketika muda dan hijau pekat ketika tua.

Selain tumbuhan asli negara, ia juga dikatakan sebagai tumbuhan liar bagi negara Myanmar.

Pembiakan

Ia senang dibiakkan menggunakan keratan batang atau rantingnya yang telah matang. Kaedahnya dimulakan dengan mengerat beberapa batang yang telah matang di sepanjang 15 sentimeter.

Sapukan hormon penggalak akar di bahagian bawah keratan. Semai dulu dalam medium pasir sungai.

Kemudian tutup bahagian atas pasu tanaman dengan beg plastik untuk mempercepatkan pertumbuhan akarnya.

Apabila ia berakar yang biasanya mengambil masa dalam tempoh beberapa minggu, pindahkannya untuk ditanam di dalam medium kekalnya.

Pokok ini sesuai untuk tumbuh dengan suburnya dalam medium tanaman yang lembap dan kaya dengan bahan humus serta air senang untuk mengalir keluar.

Tanah campuran untuk pokok berpasu adalah sesuai iaitu dalam campuran 3:2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik atau tanah gambut dan pasir sungai.

Penjagaan

Pokok ini perlu untuk didedahkan kepada banyak cahaya matahari untuk menggalakkan pertumbuhan bunga yang banyak dan cantik.

Ia memerlukan medium tanaman yang lembap sentiasa untuk hidup subur. Siram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram apabila perlu pada hari hujan.

Baja organik adalah sangat sesuai untuk pokok ini kerana ia boleh membekalkan humus yang tinggi.

Namun begitu anda juga boleh menggunakan baja kimia berwarna hijau untuk pertumbuhan pokok yang sihat.

Untuk pembungaan yang banyak gunakan baja berwarna merah. Ikuti arahan penggunaan sebagaimana yang tertera di pek baja yang digunakan.

Idea pameran

Pokok jenis pemanjat ini memerlukan sokongan seperti pergola atau pancang untuk batangnya yang lembut itu memanjat dan dapat mempamerkan bunga-bunganya yang cantik.

Jika dibiarkan ia akan tumbuh secara tidak teratur menjadi semak dan tidak menarik penampilannya.

Ia juga sesuai untuk ditanam atas tanah sebagai pokok pagaran tetapi perlu untuk diandam kemas agar mendapatkan penampilan yang menarik.

Selain memiliki bunga berwarna putih terdapat juga spesies yang berbunga ungu tua yang lebih cantik lagi penampilannya.