HONG KONG, 23 OGOS – Pertumbuhan ekonomi negara yang mapan dan kemajuan di China memberikan asas dan sokongan kukuh terhadap kemakmuran serta pembangunan di Hong Kong, kata Setiausaha Kewangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Paul Chan Mo-po.
Dalam catatan di blognya semalam, beliau berkata antara tumpuan Rancangan Pembangunan Negara Lima Tahun Ke-14 (FYP-14) ialah menyokong usaha pembangunan di Hong Kong.
“Dengan sokongan yang akan diberikan dalam pelbagai bidang termasuk menjadikan Hong Kong sebagai hab perniagaan RMB luar pesisir, ia sekali gus menyediakan peluang tanpa batasan.
“Kemampuan yang dimiliki China termasuk pembangunan inovasi, sains dan teknologi serta pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka akan dapat membantu Hong Kong lebih maju,” katanya.
Paul Chan berkata kelebihan dimiliki China juga secara tidak langsung memberi peluang untuk Hong Kong meneroka lebih banyak ruang pasaran, permintaan firma dan komoditi serta perkembangan komersial dan jenama.
“Pembangunan sosio ekonomi Hong Kong sememangnya berkait rapat dengan pembangunan dan permin-taan dari Tanah Besar China,” katanya. – Bernama