Kesukaran mencari perkhidmatan pengangkutan

Agak sukar untuk mencari perkhidmatan pengangkutan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei khususnya pada waktu tengah malam.

Akibat tidak mahu mengganggu ahli keluarga, saya berkeinginan untuk menggunakan teksi akan tetapi harga untuk menaiki teksi sangat mahal malah perkhidmatan teksi pada waktu itu tidak tersedia.

Justeru, saya mencuba menggunakan aplikasi perkhidmatan pengangkutan tempatan namun ia tidak membenarkan saya untuk meletakkan lapangan terbang sebagai lokasi untuk mengambil saya. Walau bagaimanapun, saya tetap meletakkan lapangan terbang sebagai lokasi untuk mengambil saya.

Apabila cuba dihubungi, pemandu tempatan itu meminta saya untuk membatalkan tempahan dan menyarankan untuk menggunakan teksi di lapangan terbang kerana pemandu itu tidak dapat mengambil pelanggan dari kawasan lapangan terbang.

Bagaimana saya harus pulang ke rumah jika tidak ada teksi pada ketika itu dan pemandu syarikat tersebut tidak dapat mengambil pelanggan di lapangan terbang? Bolehkah pihak berkuasa dan syarikat pengangkutan tempatan memandang serius terhadap perkara ini. – Komuter yang terdesak