Kesukarelawan belia pemacu pembangunan negara

Oleh Nurdiyanah R.

Kekuatan sesebuah bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada harta benda semata-mata, namun ia juga bergantung kepada tenaga manusia termasuklah golongan belia.

‘Belia umpama berlian’ dapat menggambarkan betapa pentingnya peranan mereka sebagai mekanisme kepada pembangunan sesebuah negara.

Saban tahun, keaktifan para belia dilihat semakin menyerlah dalam pelbagai bidang yang diceburi sehingga mampu mencapai prestasi kejayaan dan menjadi sumber inspirasi serta penyemai semangat kepada anak bangsa tanah air kita.

Belia berjiwa kesukarelawan

Berbekalkan rezeki kesihatan tubuh badan, masa dan tenaga, salah seorang belia berasal dari Daerah Tutong ini tampil bangkit memanfaatkan masa terluangnya melibatkan diri dengan kerja-kerja atau program sukarelawan dan juga pelbagai kegiatan perkembangan prestasi diri.

Begitulah ketulusan jati diri Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad yang juga selaku penerima anugerah bagi Kategori Belia Berkhidmat 2020 bersempena Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 baru-baru ini.

Jiwa kesukanan dalam sukan wushu sudah lama bersemadi dalam diri Awang Adi Salihin selaku penerima Anugerah Belia Cemerlang 2020 sehingga mampu memberikan sumber inspirasi kepada belia-belia lain terutamanya yang bergiat aktif dalam bidang sukan.
Aktif melibatkan diri dengan kerja-kerja dan program sukarelawan serta pelbagai kegiatan bagi perkembangan prestasi diri, Haji Abdul Mateen mendapat penghargaan dengan menerima anugerah bagi Kategori Belia Berkhidmat 2020 bersempena Majlis Sambutan HBK ke-16 baru-baru ini.
Kekuatan sesebuah bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada harta-benda semata-mata, namun ia juga bergantung kepada tenaga manusia termasuklah golongan belia sebagai mekanisme kepada pembangunan sesebuah negara. – Gambar fail

“Di mana pun kita melangkah, apa sahaja yang kita lakukan, semailah di dalam diri akan niat kerana Allah SWT, serta yakin bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Itulah prinsip yang sentiasa tersimpan dalam diri ini ketika mengikuti pelbagai aktiviti sukarelawan sehingga ke detik ini,” luahan tulus darinya ketika berkesempatan ditemui penulis semasa berlangsungnya Majlis Sambutan HBK berkenaan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 7 Ogos lalu.

Insan yang kini berusia 27 tahun ini turut berkongsi bahawa sepanjang penglibatannya mengikuti program sukarelawan, sudah semestinya dari pelbagai pengalaman itu mampu mendidik dirinya menjadi insan yang lebih me ngenal erti kehidupan sebenar.

“Bukanlah dinamakan belia berjiwa sukarela jika masih tersimpan dalam lubuk hatinya sifat tidak ikhlas dan mengharapkan balasan tertentu. Maka seseorang itu mestilah sentiasa peka akan masalah peringkat akar umbi iaitu sebagai belia untuk berkhidmat menerusi platform-platform program kesukare lawan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan demi sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan. Yakinlah segala niat dan doa yang baik-baik itu akan mendapat rahmat dariNya jua,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Haji Abdul Mateen bukan hanya pernah mencapai prestasi kejayaan dalam pelbagai kegiatan kesukarelawan, bahkan juga beberapa organisasi kepimpinan yang cemerlang antaranya Majlis Belia Brunei, Youth Professional Network, ketua Belia Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Pergerakan Belia IMPAK dan bergiat aktif dalam Majlis Perundingan Kampung dan telah memulakan perusahaan Tambang.bn.

“Bagi meneruskan legasi semangat Allahyarham abang saya yang begitu dikenali sebagai seorang individu yang bergiat aktif semasa sepanjang hayatnya, walaupun dalam keadaan sakit, namun semangatnya tidak pernah luntur untuk membantu orang yang berada di sekelilingnya. Semangat beliau itulah bagaikan sumber inspirasi diri ini untuk tetap bangkit berjuang dalam meneruskan misi kesukarelawan ini sampai bila-bila Insya-Allah,” kongsinya dengan penuh harapan.

Jiwa kesukanan demi negara

Sementara itu, jiwa kesukanan dalam sukan wushu sudah lama bersemadi dalam diri salah seorang belia berusia 21 tahun ini sehingga mampu memberikan sumber inspirasi kepada belia-belia lain terutamanya yang bergiat aktif dalam bidang sukan di atas pencapaiannya dalam mencipta nama dalam pertandingan berprestij antarabangsa.

Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2020 yang turut dirai pencapaiannya pada Majlis Sambutan HBK tahun ini, Awang Adi Salihin bin Roslan menzahirkan rasa syukur dengan segala usaha keras dan tunjuk ajar daripada jurulatih selama 14 tahun berkecimpung dalam sukan wushu ini, di samping mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga bagi pembabitan beliau sejak dari awal penyertaan lagi sebagai atlet dalam sukan wushu.

“Pada ketika ini, media sosial adalah platform yang sangat penting dan gunakanlah media sosial sebaik-baiknya untuk memperoleh pengetahuan yang berpatutan dan berguna demi membantu memajukan lagi prestasi diri, selain dari menjalankan latihan secara berterusan,” tambahnya.

Atlet negara yang pernah mengha rumkan nama negara di persada dunia iaitu dengan meraih pingat emas di Sukan SEA 2019, Filipina serta pelbagai lagi kejohanan-kejohanan yang lain ini turut berharap dengan penerimaan anugerah berkenaan, ia dapat mencetus inspirasi kepada belia-belia khususnya dalam kalangan atlet sukan untuk me ngukir kecemerlangan bukan hanya di peringkat negara bahkan juga sehingga ke arena antarabangsa. Selain itu, beliau juga pernah mendapat pingat perak dalam SUKMA, dua pingat emas dan satu gangsa dalam World Wushu Cup Championship 2017 di Iran dan banyak lagi.

Oleh itu, sebagai aset yang amat berharga dan tonggak serta kekuatan masa depan bagi sesebuah negara, golongan belia adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Dengan kata lain, maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belia dalam mencapai pemba ngunan negara lebih-lebih lagi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 dan juga memartabatkan Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).