ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
MENAMPILKAN gandingan pasangan suami isteri iaitu Amar Baharin dan Amyra Rosli serta Yana Samsudin, Jadikan Aku Yang Kedua merupakan sebuah siri drama terbaru dari Opera Klasik Sdn Bhd. Drama bersiri tersebut memiliki sebanyak 18 episod dan diarahkan oleh Rashid Sibir.
Di samping itu, ia juga turut membariskan pelakon seperti Fahrin Ahmad, Adibah Noor, Rahim Omar, Kartini Aziz, Wilma Muhammad, Jesh Thiam, Nadia Khils dan Jasmin Hamid.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai pertemuan antara Nuha Saqeena dan Thaqif Aswad yang menimbulkan perasaan cinta buat si gadis.
Sedangkan si jejaka pula masih sukar melupakan memori silam ketika bersama si isteri yang sudah lama pergi.
Cinta buat isteri yang sudah tiada sentiasa mekar dalam hati telah membuatkan hatinya enggan menerima lembaran cinta yang baru.

Kerana memikirkan tanggungjawab dan perlunya kasih sayang seorang ibu buat sepasang cahaya mata kembar yang telah ditinggalkan oleh isteri.
Thaqif harus mencari pengganti si isteri buat permata hati dan bukannya untuk cinta sendiri yang masih belum terbuka untuk diganti.
Pelbagai cara dilakukan untuk menambat hati Thaqif. Namun, hati Thaqif bagaikan batu. Dingin dan keras. Kehadiran Hajah Latifah dan Wazirah merumitkan lagi hubungan mereka berdua.
Kebencian Hajah Latifah telah membuatkan Nuha mengalah. Ternyata, Thaqif bukan miliknya seorang.
Satu keputusan telah dibuat saat cintanya makin mekar untuk Nuha. Namun, demi sebuah janji dia harus mengorbankan perasaannya.
Mampukah dia menerima Wazirah sebagai pengganti Waheeda sedangkan hanya nama Nuha yang terpahat dalam hati.
Dapatkan Nuha Saqeena menjadi yang kedua dalam hati Thaqif seterusnya menjadi yang terakhir dalam hidup lelaki itu.
Lalu, adakah benar cinta pertama itu tiada gantinya dan untuk mengetahui kesudahan kisah tersebut jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Jadikan Aku Yang Kedua yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 9.00 malam di Astro Oasis saluran 106 dan Astro Maya HD saluran 135 sehingga ke penghujungnya.