Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Kesunyian boleh timbul risiko kesihatan serius

    WASHINGTON, 2 MEI – Kesepian yang dialami kebanyakan warga Amerika Syarikat (AS) menimbulkan risiko kesihatan sama seperti menghisap puluhan rokok setiap hari, menyebabkan industri kesihatan kerugian berbilion dolar setiap tahun, kata pakar bedah AS hari ini ketika mengisytiharkan wabak kesihatan awam terkini.

    Kira-kira separuh daripada orang dewasa AS mengatakan mereka pernah mengalami kesunyian, kata Dr Vivek Murthy dalam laporan 81 muka surat yang dikeluarkan dari pejabatnya.

    “Kami kini tahu bahawa kesunyian adalah perasaan biasa yang dialami oleh ramai orang. Ia seperti lapar atau dahaga.

    “Ia adalah perasaan yang dihantar oleh tubuh badan apabila sesuatu yang kita perlukan untuk terus hidup hilang,” kata Murthy kepada The Associated Press dalam satu temu bual.

    “Berjuta-juta orang di AS sedang bergelut dalam kesunyian, dan itu tidak seharusnya terjadi. Itulah sebabnya saya mengeluarkan nasihat ini untuk menamatkan masalah yang dialami ramai orang.”

    Gambar fail menunjukkan Dr Vivek Murthy menyampaikan taklimat mengenai penjagaan kesihatan mental kepada Jawatankuasa Kewangan Senat di Capitol Hill di Washington. – AP

    Penyelidikan menunjukkan rakyat Amerika, yang telah menjadi kurang terlibat dengan rumah ibadat, organisasi masyarakat dan juga ahli keluarga mereka sendiri dalam beberapa dekad kebelakangan ini, telah melaporkan peningkatan dalam perasaan kesunyian.

    Wabak kesunyian melanda terutama sekali golongan muda yang berumur 15 hingga 24 tahun. Kumpulan umur ini melaporkan penurunan 70 peratus dalam masa yang diluangkan bersama rakan-rakan dalam tempoh yang sama.

    Kesepian meningkatkan risiko kematian pramatang hampir 30 peratus, dengan laporan itu mendedahkan bahawa mereka yang mempunyai hubungan sosial yang lemah juga mempunyai risiko yang lebih besar mengalami strok dan penyakit jantung.

    Perasaan tersisih juga meningkatkan kemungkinan seseorang mengalami kemurungan, kebimbangan dan demensia.

    Ketua pakar bedah itu menasihatkan orang ramai untuk menyertai kumpulan komuniti dan elak menggunakan telefon mereka apabila berkomunikasi dengan rakan; majikan untuk memikirkan dengan teliti tentang dasar kerja secara dalam talian; dan sistem kesihatan untuk menyediakan latihan kepada doktor dengan tujuan mengenali risiko kesihatan kesunyian. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...