Ketaatan kepada pemimpin kunci keharmonian negara

PUTRAJAYA, 2 Mei – Sesebuah organisasi atau negara akan hancur akibat perpecahan sekiranya ahli  atau rakyatnya gagal menzahirkan kasih sayang dan taat setia kepada ketua dan pemimpin negara.

Timbalan Syeikh Azhar Universiti Al-Azhar Syeikh Prof Dr Abbas Syuman berkata konsep wala’ atau kasih sayang dan taat kepada kepemimpinan negara adalah penting bagi menentukan keharmonian dan keamanan sesebuah kerajaan.

Katanya terdapat tiga unsur utama dalam konsep wala’ iaitu kasih sayang, tolong menolong dan persefahaman yang mana dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan dan kepatuhan yang wajib diberikan kepada kepemimpinan yang sah.

Namun, beliau berkata umat Islam kini berdepan dengan ajakan golongan tertentu untuk memerangi pemerintah sedia ada dengan seruan itu mendapat sokongan terutamanya daripada golongan muda.

“Kini telah lahirnya kumpulan bersenjata menentang pemerintahan yang telah dipilih bagi mengangkat kepimpinan Khalifah seperti yang didakwa mereka, namun ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang dibantu penterjemah bertajuk ‘Hak-hak dan Kewajipan Rakyat Terhadap Pemerintah’ sempena Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017-Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya dalam Mensejahterakan Negara di sini hari ini.

Seminar tiga hari bermula semalam itu disertai lebih 800 peserta dari pelbagai negara termasuk Australia, Jordan, Thailand, Brunei dan Mesir.

Beliau berkata dalam konteks negara Islam, adalah wajib daripada sudut syarak untuk meneruskan kepemimpinan sedia ada jika segala sistem yang diguna pakai ketika ini berlandaskan syariah.

Menurutnya, orang ramai mesti memberi kerjasama terhadap sesiapa yang dipilih menjadi pemimpin untuk mengekalkan pembangunan dan kestabilan negara.

“Perlembagaan sesebuah negara adalah kunci kepada semua ini. Ia ibarat kontrak antara kepemimpinan dan rakyat. Beliau (pemimpin) tidak boleh melebihi bidang kuasanya dan rakyat pula tidak boleh menuntut untuk kuasa itu dikurangkan mengikut apa yang telah diputuskan berdasarkan kepada perlembagaan.

“Dakwaan sebahagian kumpulan khususnya mereka yang melakukan cara keganasan sama ada kerana kejahilan mereka dengan agama yang benar atau kerana mereka menjadikan agama sebagai batu loncatan untuk tujuan tertentu adalah tidak sejajar dengan kehendak dan syariat Islam,” katanya. – Bernama