Ketahui habitat pemakanan ikan di setiap lokasi

Memang tidak dinafikan sesetengah kaki pancing tidak kisah melakukan aktiviti memancing.

Tidak kiralah di kolam, sungai, pantai dan sebagainya asalkan dapat memenuhi masa lapang mereka atau menghilangkan tekanan masalah yang dihadapi.

Namun, meskipun di mana saja kita memancing, kita perlu mengambil berat untuk mengetahui tentang ikan-ikan di lokasi yang kita tuju, agar aktiviti memancing kita tidak hanya sia-sia tanpa mendapat sebarang hasil pancingan. Setiap kawasan yang berbeza akan mempengaruhi ikan dengan bermacam-macam-macam perkara yang berbeza.

Ikan memiliki beberapa deria bagi mengesan habitat di sekelilingnya iaitu melalui deria bau, penglihatan, pendengaran dan rasa. Ikan mempunyai deria bau yang mampu membantu mereka mengesan barang atau sesuatu yang baharu. Jika anda menggunakan umpan yang kuat baunya seperti ikan masin, udang dan makanan ayam, yang setentunya ikan dengan mudah mengesannya dan menghampiri umpan tersebut.

Bagi ikan yang memburu pada waktu malam atau yang hidup di kawasan air yang keruh, ia mempunyai deria bau yang sangat kuat. Di samping itu juga, ikan memiliki deria penglihatan yang jelas di dalam air. Walau bagaimanapun, sesetengah ikan akan menjadi pasif jika air terlalu keruh, pencahayaan yang kurang dan ketiadaan air kerana tahap penglihatan akan berkurangan. Hanya beberapa jenis ikan yang mampu hidup dalam air yang keruh seperti ikan keli.

Sesetengah kaki pancing tidak kesah melakukan aktiviti memancing di mana saja sama ada di kolam, sungai, pantai dan sebagainya asalkan dapat memenuhi masa lapang mereka atau menghilangkan tekanan masalah yang dihadapi. – Agensi

Para pemancing juga perlu tahu bahawa tidak semua ikan menyukai bunyi bising kerana ada sesetengahnya merasa takut apabila mendengar bunyi bot. Manakala ada juga tertarik dengan bunyi bising yang sebaik-baiknya dimanfaatkan oleh pemancing dengan menggunakan umpan jenis buzz bait yang mampu menghasilkan bunyi yang kuat.

Bagi ikan keli dan ikan-ikan yang lain mendiami kawasan air yang keruh mempunyai deria rasa pada keseluruhan badan dan siripnya. Ikan juga mampu mengesan tekanan dan getaran seperti saiz, bentuk, arah dan kelajuan objek atau mangsa melalui garisan lateral yang terdapat pada sisi badan ikan. Oleh sebab itu juga ikan mampu memburu mangsanya pada waktu malam.

Di samping deria-deria yang dijelaskan, ikan juga mampu mengesan sesuatu seperti suhu air dan dapat membezakan jenis umpan melalui sentuhan atau gigitan. Ikan mampu membezakan antara umpan jenis hard bait dan soft bait dalam tempoh kurang satu saat.

Sebelum anda memulakan aktiviti memancing, anda perlu memerhatikan keadaan lokasi yang anda tuju. Perhatikan jenis-jenis ikan yang ada di kawasan itu dan lebih penting lihat jenis anak ikan yang ada. Sebagai permulaan, guna warna umpan seakan-akan anak-anak ikan tersebut.

Dalam pemilihan saiz umpan juga amat penting kerana tidak semua ikan memiliki cita rasa yang sama dan lain tempat lain juga cara pemakanannya. Bak kata peribahasa ‘Lain padang lain belalangnya.’ Hal ini kerana tidak semua ikan menyukai umpan yang besar dan sesetengah ikan ini lebih menyukai umpan yang kecil.

Penggunaan umpan tiruan besar ini lebih sesuai di mana kawasan tersebut banyak ikan jenis pemangsa. Hal ini kerana ikan pemangsa lebih memberikan tindak balas untuk mempertahankan kawasan daripada ikan lain.

Pemilihan waran umpan juga tidak kurang pentingnya. Para pemancing perlu tahu bahawa umpan tiruan dapat dilihat di dalam air dengan pantulan cahaya dari matahari.

Oleh itu para pemancing perlu menggunakan umpan yang berkilat bagi memancing ikan yang aktfi di waktu siang dan menggunakan umpan yang mempunyai bau dan bercahaya (glow in the dark) bagi ikan yang aktif memburu pada waktu malam. – Agensi