Ketahui keupayaan RMP

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 13 Feb – Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyediakan platform bagi Polis Tentera Diraja (RMP), Garison Tentera British Brunei menyebarkan maklumat mengenai peranan dan keupayaannya di negara ini bersama pihak berkuasa tempatan dan sebaliknya, RMP telah mengadakan simposium di premis Medicina Lines, Seria, hari ini.

Lebih 40 perwakilan dari pelbagai jabatan di bawah Pasukan Polis Diraja Brunei di daerah berkenaan, termasuklah kakitangan daripada Jabatan Keagamaan, Jabatan Kesihatan dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).

Simposium berkenaan bermatlamat untuk memberi pemahaman kepada pihak berkuasa dan agensi tempatan mengenai kedudukan RMP dalam Tentera British serta peranan dan tanggungjawab mereka sebagai badan pengawasan yang sah ketika berada di negara ini.

Pemerintah Detasemen RMP, WO2 Donna Longhurst pada temu bual ringkas menjelaskan, “Simposium hari ini adalah mengenai menunjukkan siapa kami (RMP), apa peranan kami di negara ini, keupayaan kami dan apa yang berpotensi boleh kami kongsi dari segi amalan-amalan terbaik, dengan jabatan-jabatan setempat yang bekerjasama dengan kami di kawasan sekitar Kuala Belait dan Seria.”

Beliau turut menekankan bahawa simposium yang mengongsikan amalan-amalan terbaik antara RMP dan pihak berkuasa setempat juga berfungsi dua hala, kerana ia menggalakkan penyertaan daripada perwakilan yang hadir dalam mengongsi cerita-cerita mereka sendiri.

WO2 Donna Longhurst melakukan demonstrasi pada simposium berkenaan, kelmarin.

Semua ini, menurutnya, bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai pelbagai situasi yang biasa dihadapi oleh RMP dan pihak berkuasa setempat di negara ini.

“Kami tidak mendapat idea terbaik semata-mata dan dengan adanya simposium ini serta bekerjasama berterusan dengan pihak berkuasa setempat, kami boleh bekerjasama dengan lebih lancar pada masa depan,” tambah beliau.

Simposium julung kali diadakan oleh RMP itu, beliau menekankan ia bukan sahaja akan membantu membangun dan mengukuhkan hubungan antara RMP dan pihak-pihak berkuasa tempatan, malah menyebarkan maklumat untuk mewujudkan pemahaman dan mempelajari pelbagai keupayaan RMP dan pihak berkuasa setempat yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Pada simposium tersebut, para hadirin telah mendengarkan taklimat mengenai pelbagai topik termasuk pengenalan kepada RMP serta menunjukkan keupayaan-keupayaannya, peraturan dan undang-undang yang dipatuhi RMP selain peraturan dan undang-undang pentadbiran tempatan, pelbagai operasi yang dijalankan dan banyak lagi.

Selain itu, para hadirin juga dapat berinteraksi dengan ahli-ahli RMP di samping menyaksikan peralatan mereka yang bertujuan untuk memberi gambaran mengenai keupayaannya dan bagaimana ia membolehkan RMP bukan sahaja memastikan keselamatan kakitangannya tetapi juga penduduk di kawasan sekitar Garison Tentera British Brunei.

Ramai yang hadir turut teruja bukan sahaja untuk mengetahui mengenai RMP semasa simposium berkenaan dengan mengemukakan pelbagai soalan mengenai keupayaan dan peralatan yang digunakan, malah berkongsi cerita-cerita dan pengalaman mereka sendiri mengenai situasi-situasi atau insiden yang telah dihadapi di samping amalan-amalan terbaik yang digunakan sebagai jalan penyelesaian.