Ketahui orang dikuarantin melalui Epidemic Map

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seperti pada gelombang pertama pandemik COVID-19 di negara ini pada 2020, mereka yang dikurantin akan dipakaikan gelang untuk memudahkan orang ramai mengetahui mereka yang dikenakan kuarantin.

“Terdapat cabaran terhadap pemakaian gelang tersebut dan kini kaedah untuk mengetahui mereka yang dikuarantin boleh dilihat melalui Epidemic Map yang terdapat pada (aplikasi) BruHealth,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang menjelaskan bahawa mengenai penggunaan telefon bimbit untuk melihat mereka yang dikurantin adalah lebih tepat.

“Untuk memastikan keberadaan mereka yang dikurantin, kami akan memantau dengan menghubungi mereka,” jelas beliau lagi pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, kementerian berkenaan hari ini.

Menurut beliau lagi, “Seperti Sekolah Chung Hua, kami meminta pihak mereka untuk membuat pemeriksaan dan Alhamdulillah pihak sekolah telah memberikan kerjasama dan banyak membantu dalam memastikan Kluster Chung Hua dan keluarga mereka.

“Insya-Allah, kami akan membuat ia lebih bersistematik dengan yang lain dan pemantauan ini akan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Mengenai kerisauan ibu-ibu yang mempunyai perjanjian anak damit, jelas Yang Berhormat Dato, yang penting ibu-ibu hendaklah memakai penutup mulut dan hidung selain memastikan membuat penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter daripada orang ramai.