Ketahui ramalan cuaca dengan mudah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) terus melaksanakan pelbagai pendekatan dan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran serta menyampaikan maklumat terkini mengenai dengan keadaan cuaca semasa kepada orang ramai.

Dengan hasrat untuk menyebarkan dan memberikan maklumat keadaan cuaca terkini kepada orang ramai dengan mudah serta boleh diakses menggunakan peranti pintar mereka, BDMD telah memperkenalkan aplikasi mudah alih ramalan cuacanya, Brunei WX, yang merupakan kemas kini terbaru bagi aplikasi ramalan cuaca yang kini boleh dimuat turun kepada peranti pintar atau telefon bimbit pintar melalui Apple AppStore atau Google Play.

Sebagai usaha untuk mempromosikan kesedaran mengenai aplikasi mudah alih terkini, Brunei WX, pegawai-pegawai BDMD tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan dan menyebarkan risalah mengenai aplikasi berkenaan semasa Majlis Kesedaran Keselamatan Pantai yang diadakan di Pantai Tungku, hari ini.

Menurut Pegawai Kaji cuaca, BDMD, Dayang Titty Dewana, kemas kini terbaru aplikasi ramalan cuaca berkenaan sudah boleh dimuat turun bermula 27 November lalu di mana mengikut statistik sehingga November 2016, sebanyak lebih 31 ribu muat turun bagi aplikasi ramalan cuaca telah dimuat turunkan iaitu sebanyak lebih 16 ribu muat turun bagi Apple dan kira-kira 21 ribu muat turun bagi pengguna Android.

Beliau menyatakan harapan menerusi usaha pihak jabatan untuk menyebarkan maklumat mengenai dengan aplikasi berkenaan, bukan sahaja orang ramai akan dapat memuat turunkan aplikasi berkenaan tetapi menggunakan untuk mendapatkan ramalan atau maklumat keadaan cuaca semasa serta amaran cuaca.

Para pegawai BDMD berada di Pantai Tungku untuk menyebarkan maklumat mengenai aplikasi mudah alih kemas kini terbaru, Brunei WX.
Para pegawai BDMD berada di Pantai Tungku untuk menyebarkan maklumat mengenai aplikasi mudah alih kemas kini terbaru, Brunei WX.

Beliau turut berkata bahawa aplikasi kemas kini terbaru itu, mengetengahkan beberapa ciri terbaru termasuk ramalan keadaan laut seperti ketinggian ombak serta amaran bagi pengguna-pengguna bot.

Di samping itu, ulas Pegawai Kaji cuaca, Kelly Ng Swee Mei, aplikasi berkenaan mempamerkan ramalan cuaca bagi tempoh tiga hari serta dikemaskinikan setiap hari atau apabila keadaan cuaca berubah.

Ia juga mempunyai ikon cuaca yang lebih mudah difahami, ramalan harian yang dibahagikan kepada enam bahagian serta juga mengandungi amaran atau peringatan yang terkini.

Mengulas mengenai rancangan terdekat untuk mempromosikan inisiatif penyebaran maklumat kaji cuaca itu, Dayang Titty berkata bahawa BDMD akan mengadakan beberapa kegiatan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan kaji cuaca semasa Sambutan Haji Kaji Cuaca Sedunia pada Mac nanti.

Para pegawai dari BDMD turut menyatakan harapan agar orang ramai memuat turun aplikasi ramalan cuaca berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca seharian serta mengetahui keadaan ombak laut terutama bagi para pengguna bot atau nelayan dan mereka yang ingin berkunjung ke kawasan pantai.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai keadaan cuaca boleh menghubungi talian cuaca, 114.