Ketahui tatacara tempahan solat Jumaat

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Kira-kira 29,944 orang telah mendaftar dan membuat tempahan slot bagi sembahyang fardu Jumaat pada 29 Mei ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar turut memaklumkan bahawa bagi memudahkan orang awam dalam tatacara penggunaan aplikasi BruHealth, beberapa inisiatif telah dilakukan untuk menunjuk ajar tatacara dan memudahkan bagaimana membuat pendaftaran bagi tempahan sembahyang fardu Jumaat.

Menurut beliau, ia akan dilaksanakan oleh kakitangan dan sukarelawan dari Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai masjid, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam, ahli jawatankuasa takmir masjid serta belia-belia masjid di masjid-masjid dan balai ibadat seluruh negara bermula 9 hingga 11 pagi dan 1 hingga 3 petang esok.

“Orang ramai bolehlah berkunjung ke masjid-masjid pada masa-masa tersebut untuk mendapat bantuan mengenai aplikasi tersebut,” jelas Yang Berhormat Dato lagi pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut memberitahu bahawa bagi mereka yang menerima pencen, sukarelawan juga akan berada di tempat-tempat pembayaran pencen untuk mengajar mengenai penggunaan aplikasi tersebut.

Terdahulu itu, beliau mengongsikan bahawa seramai 223,356 orang telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi BruHealth sementara itu, 3,563 buah syarikat dan premis juga telah mendaftar dengan aplikasi berkenaan.

Penggunaan aplikasi BruHealth untuk pendaftaran bagi tempahan sembahyang fardu Jumaat.