Ketahui tip penggunaan kad kredit

Oleh Salawati Haji Yahya

Pemilikan kad kedit kini bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan.

Tidak dinafikan penggunaannya juga dilihat sebagai penting dalam menyempurnakan sesuatu urusan perniagaan dalam dunia yang semakin berkembang pesat.

Namun begitu, pemilik kad kredit harus bijak menggunakan kad kredit kerana jika ia digunakan secara tidak terkawal akan menimbulkan banyak masalah kewangan yang akhirnya akan membawa kepada hutang tertunggak yang tidak mampu dijelaskan.

Sebelum memohon kad kredit, pengguna disarankan supaya membaca dan memahami terma dan syarat yang ditetapkan oleh pengeluar kad.

Menurut Kaji Selidik Kebangsaan Celik Kewangan 2018 yang dibuat oleh Pusat Pengajian Dasar dan Strategik (CSPS) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hanya 67 peratus daripada responden memahami terma dan syarat kad kredit.

AMBD dalam satu kenyataan yang diterima berkata penyata kad kredit memaparkan ringkasan transaksi-transaksi yang telah dibuat menggunakan kad kredit bagi tempoh bil yang ditetapkan dan apabila menerima penyata adalah dinasihati untuk membaca semua maklumat, terma, nombor-nombor utama dan tarikh utama, serta memastikan bahawa tiada caj yang tidak dibenarkan atau kesilapan dalam penyata anda.

Antara jenis kad kredit yang ditawarkan oleh pengeluar. – Agensi
Kad kredit juga boleh digunakan untuk membayar barangan dalam talian. – Agensi

Untuk membantu memahami penyata kad kredit, terdapat ciri-ciri utama yang perlu diambil perhatian oleh pemegang kad apabila membaca penyata kad kredit. Antaranya adalah:

Tarikh penyata

Sebagai pemegang kad kredit, adalah perlu mengetahui bila tarikh penyata dan tempoh masa pembayaran kad kredit tanpa dikenakan pembayaran caj faedah yang mana ini merujuk kepada kitaran bil pembayaran tanpa faedah yang dikenakan kepada barang belian.

Tarikh akhir pembayaran

Manakala tarikh akhir pembayaran adalah tempoh masa terakhir untuk membuat pembayaran bagi baki yang tertunggak, sebelum pihak bank mengenakan denda atau penalti.

Pemegang kad kredit hendaklah memastikan tarikh akhir pembayaran dan membuat bayaran bulanan tepat pada waktunya bagi mengelakkan pembayaran caj tambahan.

Mana-mana baki yang tertunggak serta caj faedah yang tidak dilangsaikan pada tarikh yang ditetapkan akan dikenakan faedah tambahan dan akan dibawa kepada penyata pembayaran seterusnya.

Jumlah pembayaran minima

Jumlah pembayaran minima pula merupakan jumlah minima yang perlu dibayar pada atau sebelum tarikh pembayaran bagi mengekalkan akaun kad kredit pemegang dan secara lazimnya, caj jumlah pembayaran adalah berlainan pada setiap bulan.

Ini tertakluk kepada jumlah pembelian kerana jumlah minima yang dikenakan adalah 8 peratus daripada jumlah keseluruhan baki yang tertunggak.

Walau bagaimanapun, pemegang kad kredit juga dinasihatkan untuk membuat pembayaran lebih daripada jumlah minima bagi mengelakkan dikenakan caj faedah yang bertingkat dan mengurangkan tempoh berhutang.

Sebahagian pengeluar kad kredit akan menggantung perkhidmatan kad kredit jika tidak menerima sebarang pembayaran.

Jumlah baki terkini

Baki terkini menunjukkan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar dan jika pemegang kad kredit tidak membuat pembayaran selama sebulan atau lebih, ini akan tertera di bahagian ‘bayaran lewat’ penyata kad kredit.

Semakin lama tidak membayar tunggakan, semakin tinggi denda pembayaran lewat dikenakan tapi jika pembayaran dibuat lebih daripada jumlah tertunggak, jumlah tersebut akan diklasifikasikan sebagai ‘CR’.

Ini bermaksud lebihan wang tersebut akan digunakan untuk membayar baki kad kredit di bulan seterusnya.

Had kredit

Had kad kredit adalah jumlah maksimum yang diperolehi daripada kad kredit pada waktu yang ditetapkan dan jika pembelian anda melebihi daripada had kredit, pembelian tersebut akan ditolak.

Ini sebagai contoh, jika had kredit pemegang berjumlah $1,000, pemegang hanya akan dapat membuat pembelian tidak lebih daripada jumlah tersebut.

Sebarang pembelian yang melebihi had kredit anda akan ditolak dan ini tertakluk kepada pengurusan risiko kredit bank yang mana pemegang kad berkenaan boleh memohon tambahan bagi had kredit mereka.

Selain itu, AMBD turut mengongsikan bersama pemilik kad kredit tentang tip-tip pengurusan penggunaan kad kredit seperti berikut:

Tip-tip pengurusan penggunaan kad kredit

Bagi bayar keseluruhan baki tunggakan atau sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah minimum yang ditetapkan adalah tidak membuat pembayaran balik atau melambatkan pembayaran boleh mengakibatkan kesan yang negatif kepada sejarah kredit anda .

Selain itu, pihak bank boleh mengenakan denda lewat pembayaran kepada jumlah baki yang tertunggak dan pemilik kad kredit dinasihatkan untuk membuat pembayaran secara penuh bagi mengelakkan sebarang caj-caj tambahan.

Walau bagaimanapun, jika tidak dapat berbuat demikian, dinasihatkan untuk membayar lebih daripada jumlah minimum supaya dapat melunaskan baki tertunggak dengan segera bagi mengurangkan caj-caj pembayaran.

Manfaatkan mata ganjaran kad

Mata ganjaran diberikan kepada pemegang kad kredit berdasarkan pembelian menggunakan kad kredit – Sebagai contoh, satu mata ganjaran diberikan bagi setiap satu ringgit pembelian.

Ini tertakluk kepada program hadiah pengeluar kad masing-masing yang mana ia juga boleh menuntut mata ganjaran untuk mendapatkan gift cards, wang, poin kembara.

Jadi manfaatkanlah kebaikan yang boleh diperoleh daripada program tersebut.

Elakkan caj faedah kompaun

Caj faedah kompaun pada kad kredit merujuk kepada caj faedah yang dikenakan ke atas caj faedah yang telah dikenakan sebelum ini bagi baki yang tertunggak.

Semakin lama tidak membayar balik, semakin tinggi caj faedah perlu dibayar selain membayar bil kad kredit selepas tarikh luput akan mengakibatkan denda lewat pembayaran.

Kekalkan laporan kredit dan skor yang baik

Biro Kredit, Autoriti Monetari Brunei Darussalam mengumpul, menyusun dan menyatukan maklumat perbankan dan bukan perbankan (seperti utiliti) di Negara Brunei Darussalam bagi menghasilkan laporan kredit dan skor kredit.

Dengan maklumat ini, institusi kewangan boleh menjalankan penilaian kredit bagi permohonan pinjaman dan bagi pemegang kad kredit yang tidak membuat pembayaran setiap bulan ia akan dinilai sebagai individu berisiko tinggi.

Ini akan memberi impak negatif kepada skor kredit anda dan boleh mengakibatkan pihak institusi kewangan untuk menolak permohonan pinjaman baharu.

Sehubungan itu, adalah penting bagi anda untuk bersikap bertanggungjawab di dalam membuat pembayaran balik bagi mengekalkan laporan kredit serta skor kredit yang baik.

Laporkan pembelian yang tidak sah

Pemegang kad kredit juga dinasihatkan untuk menyemak serta mengesahkan butiran penyata dan melaporkan kepada pihak bank jika terdapat sebarang pembelian yang tidak dibuat dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh penyata tersebut.

Jika pihak bank tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, penyata kad kredit anda akan dianggap sebagai betul dan muktamad.

Pastikan kad anda selamat

Pemegang kad kredit juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kad anda disimpan di tempat yang selamat dan terjaga serta nombor PIN kad anda tidak diketahui oleh orang lain.

Jika kad anda hilang, dicuri atau nombor PIN telah didedahkan, pemegang perlu menghubungi dan memaklumkan pihak bank untuk menyekat kad tersebut dengan segera bagi tujuan keselamatan.

Manakala bagi kad kredit yang dikeluarkan oleh bank Islam, yuran pentadbiran akan dikenakan bagi pengguna kad kredit yang tidak membayar bil pada tarikh pembayaran yang ditetapkan.