Ketam paling mahal pecah rekod

TOKYO, 7 NOV – Seorang lelaki Jepun mungkin terasa tersepit apabila membuat bidaan AS$46,000 pada jualan lelong ketam opilio yang juga dikenali sebagai ketam salji – satu harga yang mungkin ‘memecah rekod dunia baharu,’ menurut pegawai tempatan hari ini.

Makanan istimewa musim dingin itu kini banyak didapati di kawasan barat Tottori, di mana ketam-ketam itu sering laris jualannya dan boleh mencecah harga mahal sehingga lima juta yen.

Di Jepun, para pembeli sering membayar mahal untuk mendapatkan lelongan pertama bermusim dari tuna hingga tembikai, dengan jaminan perhatian media.

“Saya begitu terkejut ia boleh mencecah hingga harga setinggi itu,” kata pegawai kerajaan tempatan, Shota Inamono memberitahu AFP mengenai ketam yang berukuran 1.2kg dan lebarnya 14.6 sentimeter.

Menurut Inamoto, harga itu mengatasi harga pecah rekod tahun lalu sekitar dua juta yen, yang didaftarkan ketika itu dalam Rekod Dunia Guinness bagi ketam paling mahal.

“Ketam tahun ini menewaskan rekod harga tahun lalu, jadi kami percaya ia kemungkinan menjadi ketam paling mahal di dunia,” katanya, menambah kerajaan akan mempertimbangkan pensijilan Guinness sekali lagi.

Ketam itu telah dibeli oleh seorang peruncit dan akan dihidangkan di restoran mewah Jepun di Daerah Ginza, Tokyo, lapor media tempatan. – AFP

Ketam salji yang dijual dengan harga pecah rekod pada lelongan di bandar Tottori pada 7 November. – AFP