Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketamadunan berlandaskan Islam

    Oleh Dr Muhammad Hadi bin Md Melayong

    Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

     

    SEMINAR Antarabangsa Arkeologi, Sejarah, Bahasa dan Budaya di Alam Melayu (ASBAM) yang dianjurkan oleh Fakultas Ilmu Budaya Universitas Hassanuddin, Makassar dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Malaysia telah berlangsung selama dua hari iaitu 27 hingga 29 Julai 2018 yang lalu.

    Seramai tujuh orang dari Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Haji Asbol bin Haji Mail selaku Setiausaha Kehormat PESEBAR dan Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR telah bertolak ke Lombok pada 26 Julai 2018 dengan tujuan menghadiri seminar tersebut.

    Rombongan ini telah disertai lagi empat orang ahli untuk meneruskan perjalanan bagi mengikuti Education Tourism with An International Conference di Bandung pada 1 hingga 5 Ogos 2018 yang juga melibatkan penyertaan dari Negara Malaysia, Filipina, dan Republik Indonesia.

    Seminar yang berlangsung di kota Bandung ini bertemakan Politics of Education and Its Implications towards Social, Cultural, and Human Resources Development in Asian Countries.

    Persidangan ini anjuran bersama ASPENSI di Bandung, Indonesia dan BRIMAN Institut, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

    Penulis bergambar bersama empat orang pembentang ucaptama dari Holland, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

    Penyertaan PESEBAR dalam seminar antarabangsa di Lombok yang terkenal panggilan Pulau Seribu Masjid telah meninggalkan titik bersejarah yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidup perwakilan PESEBAR.

    Ia merupakan satu peristiwa yang tidak pernah dialami sepanjang hidup peserta di mana gegaran gempa bumi pada hari kedua seminar iaitu pada 29 Julai menggoncangkan bangunan hotel di mana tempat penginapan kesemua tujuh peserta dari negara Brunei Darussalam.

    Meskipun, gegaran tersebut mengorbankan nyawa dan kemusnahan harta benda dan bangunan-bangunan terutama di Lombok Timur bagaimanapun, rombongan PESEBAR telah terselamat. Ahli rombongan meneruskan program mengikuti seminar serta lawatan ke beberapa buah tempat bersejarah serta pusat budaya, ekonomi, pelancongan termasuk kunjungan muhibah ke Yayasan Pasenteran di Lombok Tengah.

    Peristiwa pahit yang berlaku pada 29 Julai itu adalah atas kudrat dan takdir dari Allah S.W.T jua, syukur Alhamdulillah kerana Allah S.W.T telah melindungi rombongan dari Brunei sehingga rombongan PESEBAR dapat meneruskan misi seterusnya bagi perkongsian ilmu dan maklumat ke Kota Bandung pada 1 hingga 5 Ogos 2018. Ketika dalam perjalanan

    balik dari Kota Bandung sekali lagi gempa bumi telah berlaku di Pulau Lombok dengan kekuatan 7.0 magnitud iaitu khususnya menimpa di beberapa tempat di mana ahli rombongan pernah menginap dan menyertai seminar tersebut.

    Gempa bumi kali kedua ini mengorbankan nyawa melebihi 381 orang dan ribuan yang cedera dan mendapat luka-luka malah goncangan itu berterusan pada kali ketiga dan kekuatan 6.2 magnitud pada hari Jumaat 10 Ogos 2018 khususnya di kawasan Mataram, Lombok Barat iaitu setelah rombongan selamat balik ke Brunei. Kita berdoa semoga saudara-saudara kita di Kepulauan Lombok sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah S.W.T yang menentukan segala-galanya.

    Ini adalah merupakan cabaran yang dilalui oleh ahli rombongan dalam menyertai seminar yang berlangsung di Pulau Seribu Masjid, sebenarnya terdapat lebih daripada 6,000 bangunan masjid di Pulau Lombok. Alhamdulillah, hasrat dan tujuan rombongan PESEBAR telah tercapai bagi perkongsian ilmu sambil bertukar maklumat dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan diselajurkan penyampaian hajat orang-orang dari negara Brunei Darussalam untuk beramal kebajikan.

    Dua buah kertas kerja telah dibentangkan oleh peserta dari Negara Brunei Darussalam pada hari pertama dan kedua dalam seminar tersebut. Kertas kerja pertama yang disampaikan oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong adalah merupakan kertas kerja

    perdana yang dibentangkan pada hari pertama sehari sebelum berlakunya gempa bumi manakala kertas kerja kedua disampaikan oleh Prof Madya Dr Haji Hasbol bin Haji Mail.

    Tajuk kertas kerja yang disampaikan oleh penulis ialah Sejarah Sumber Pengukuhan Warisan Bangsa.

    Dalam kertas kerja ini penulis cuba untuk berkongsi maklumat dan pandangan mengenai kepentingan sejarah sebagai sumber pengukuhan semangat jati diri dan identiti Bangsa Brunei untuk mewujudkan perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara dalam sebuah negara yang terdiri dari berlainan agama, budaya dan keturunan.

    Selain daripada sumber kemakmuran dan keamanan hidup berbangsa dan bermasyarakat warisan tradisi iaitu Konsep Melayu Islam Beraja perlu dipelihara dan dipertahankan untuk melahirkan kehidupan aman makmur dan sejahtera yang diredai oleh Allah S.W.T supaya ia tidak tersasar daripada amalan tradisi yang telah warisi ratusan tahun.

    Penyertaan PESEBAR dalam seminar ini telah memberi gambaran kepada masyarakat luar betapa pentingnya warisan bangsa Brunei yang berlandaskan MIB dipertahankan dalam membangun dan memajukan negara demi mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Ini adalah merupakan warisan tradisi bangsa Brunei yang diamalkan bagi mengujudkan sebuah negara yang dikenali iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafuur.

    Dalam hal ini, pembuktian berasaskan kepada sejarah tentang kewujudan dan pengamalan cara hidup Melayu Islam Beraja (MIB) yang merupakan warisan bangsa Brunei telah menjadi bahan perbincangan dalam pembentangan kertas kerja perdana yang berlangsung di Lombok selama dua hari.

    Dua persoalan penting telah dikemukakan oleh golongan sejarawan dari Indonesia kepada penulis pertama apakah warisan yang perlu dimiliki dan diamalkan oleh Bangsa Melayu di Nusantara? Kedua apakah sandaran penting dalam pembinaan ketamadunan satu bangsa atau negara? Berdasarkan pengalaman dan perspektif sejarah Brunei, warisan budaya, sistem beraja dan agama Islam adalah merupakan warisan tradisi Bangsa Brunei yang menjadi asas kepada kemakmuran dan keamanan negara yang pernah menjadi amalan bangsa Melayu Nusantara dan sekarang hanya kekal di bumi Brunei Darussalam.

    Bagi pembinaan ketamadunan manusia kita tidak boleh lari daripada ajaran atau ketamadunan Islam yang mewarnai dan mencorakkan kehidupan manusia dari zaman Nabi Adam A.S dicipta oleh Allah S.W.T sehingga ke hari ini.

    Inilah sebenarnya kepentingan sejarah yang merupakan sumber atau asas rujukan dan panduan bagi pembinaan ketamadunan manusia di muka bumi ini supaya tidak tersasar daripada tujuan asal penciptaan manusia yang iaitu hanya beribadat kepada Allah S.W.T.

    Ini sebenarnya sebab kenapa sejarah Islam itu penting diketahui dan dipelajari oleh generasi muda masa kini, supaya golongan pewaris bangsa itu mengetahui dan faham akan sejarah penciptaan manusia dan perkembangan ketamadunan manusia dari zaman Nabi Adam A.S sehingga ke zaman moden masa kini dengan bersandarkan Al-Quran dan Hadis.

    Sejarah sebagai satu ilmu pengetahuan perlu disebarluaskan dan diketahui oleh peringkat masyarakat bahkan dikongsi samakan dengan masyarakat serantau dan antarabangsa dalam era globalisasi yang penuh cabaran demi kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

    Isu inilah yang telah diketengahkan oleh penulis dengan menekan bertapa pentingnya sejarah sebagai pengukuhan status negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu yang mengamalkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bersistem politik beraja. Perkara ini telah dijelaskan secara mendalam pembentangan kertas kerja perdana dalam waktu terbatas selama 20 minit.

    Penulis menjelaskan bertapa pentingnya warisan bangsa Brunei yang berpaksikan Islam itu dipertahankan dalam dunia globalisasi masa kini.

    Dan kita sesekali jangan cuba untuk mengubah dan melenyapkan warisan tradisi yang sudah pasti menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup berbangsa dan bernegara.

    Setiap langkah yang tersasar daripada amalan tradisi yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T pasti menerima akibat dan buruk sebagaimana titah Baginda Sultan “…begitulah ibarat kita mengubah warisan yang indah, apatah lagi membuangnya langsung, apakah akan terjadi? Tentu saja akibatnya buruk dan rugi”.

    Oleh itu “…kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama itu, tidak kan dapat bertahan lama kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat dan apa pun jua ketandusan berkat tidak dapat menghasilkan kebahagiaan sejati”.

    Justeru, sekiranya pencapaian dan kemajuan yang kita nikmati ini adalah tersasar dari nilai-nilai MIB yang dipertahankan dan merupakan anugerah daripada Allah S.W.T maka ianya setentunya tidak akan kekal sebalik lenyap dan musnah.

    Oleh itu, dalam kita berusaha untuk membina negara ini ke arah kemajuan dan pembangunan yang berasaskan kepada Wawasan Brunei 2035 hendaklah berdasarkan nilai-nilai MIB supaya ianya tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam demi keberkatan bagi mengujudkan negara yang dirahmati Allah S.W.T yang disebut dalam Al-Quran Surah Saba’ ayat 15 iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafuur. Yang bermaksud (Negerimu) adalah negeri yang baik dan Tuhanmu) adalah Tuhan maha Pengampun. Baldatun Tayyibatun yang difirmankan Allah S.W.T itu adalah negara yang aman, sejahtera lagi makmur dan wa Rabbun Ghafuur adalah bermaksud yang berdiri kukuh di bawah keredaan dan keampunan Allah S.W.T.

    Ini jelas membuktikan bahawa sekiranya pembangunan dan kemajuan yang dinikmati dan dimiliki oleh rakyat negara tersebut mendapat keredaan Allah maka pasti negara itu tidak akan mendapat kemurkaanNya dan terhindar dari segala malapetaka dan bencana. Sesungguhnya Allah S.W.T mengajar kita dengan cara yang lebih keras dengan mendatangkan sedikit kejutan berupa bencana supaya kita merasa insaf dan sedar serta mahu mengambil iktibar daripadanya.

    Perkara ini pernah dititahkan oleh Baginda Sultan dengan bercontohkan peristiwa Tsunami sebagai contoh yang paling tepat mengandungi iktibar berguna yang mirip dengan peristiwa-peristiwa yang diceritakan dalam Al-Quran. Kerana itu kita mesti mengambil peringatan dan pengajaran daripadanya.

    Oleh itu berlakunya sesuatu perkara seperti tsunami, banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya yang anggap sebagai kejadian alam semula jadi sebenarnya adalah kehendak dari Allah S.W.T yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui sebagai peringatan dan juga penghukum pada setiap hambaNya yang melebihi batasan daripada perintahNya.

    Sebagaimana firmanNya dalam Al-Quran Surah Qasas ayat 59 yang maksudnya :”Dan tidaklah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibu kota itu seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan mana –mana kota kecuali penduduknya berlaku zalim”.

    Sesungguhnya pengalaman pahit yang telah dilalui oleh rombongan PESEBAR ketika melaksanakan amanah demi perkongsian ilmu dan berbuat ibadah di Pulau Seribu Masjid semoga menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita dalam membangun dan mengejar kemajuan di era globalisasi supaya tidak tersasar dari nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang merupakan Warisan Bangsa Brunei dan menjadi Dasar Negara sebagaimana yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda