Ketangkasan ibu selamatkan anak daripada hangus

BANDAR SERI BEGAWAN 14/15 SEPTEMBER 2002 – Ketangkasan seorang ibu bertindak dalam keadaan cemas pada saat rumahnya dijilat api berjaya menyelamatkan dua anaknya yang sedang nyenyak tidur daripada hangus dalam kebakaran yang meranapkan dua daripada empat buah rumah sederet pada 17 tahun lalu di Kampung Belimbing, Subuk.

Siti Salza Limbau, 24, ditemui sejurus selepas kebakaran itu berkata bahawa beliau dan adiknya yang tinggal serumah sedang bersarapan pagi kira-kira pada pukul 8.30 pagi apabila terhidu bau asap yang kuat datang dari rumah jirannya, Awang Mohamad Bidin.

Apabila menjenguk keluar rumah, beliau nampak kepulan asap yang hangit keluar dari alat penghawa dingin rumah Mohamad dan dalam beberapa saat api mula menjulang dan memusnahkan rumah jirannya.

Melihat keadaan api yang mula merebak ke bahagian bilik tidurnya, Siti Salza bergegas ke bilik tidur di mana tiga anaknya sedang tidur dan dalam keadaan cemas beliau menyambar beberapa dokumen penting lalu keluar daripada rumahnya yang ketika itu dipenuhi dengan asap tebal.

Kebakaran itu disyaki berpunca daripada alat penghawa dingin rumah sewaan Awang Mohamad, 37, mengakibatkan beliau yang ketika itu sedang bertugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri tinggal sehelai sepinggang.

Pihak bomba yang mengejarkan beberapa kereta bomba ke tempat kejadian berjaya menghalang api daripada memusnahkan dua buah rumah lain yang sederet.