WASHINGTON, 7 Ogos – Amerika Syarikat (AS) mengenakan semula beberapa siri sekatan ke atas Iran hari ini, menguatkuasa semula penalti yang telahpun dibatalkan di bawah perjanjian nuklear beberapa pihak yang ditinggalkan oleh Presiden Donald Trump pada Mei.
Sekatan pertama daripada dua sekatan AS yang berkuatkuasa pada pukul 12:01 pagi, menyasarkan penggunaan wang kertas AS dan kemasukan dalam industri utama, termasuk kereta dan permaidani.
Penduduk Iran telahpun melihat kesan sekatan, dengan mata wang Iran rial mengalami kerugian separuh daripada nilainya sejak Trump mengumumkan bahawa AS akan menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015.
Kebencian Trump terhadap perjanjian nuklear wujud sejak dia menjadi calon presiden dan pada 8 Mei, dia menunaikan janjinya untuk mengeluarkan Amerika daripada perjanjian antarabangsa itu.
Dia mengecam perjanjian sekali lagi semalam, menggelarnya sebagai ‘perjanjian sebelah pihak yang gagal mencapai matlamat asasnya untuk menyekat semua jalan untuk menghapus bom nuklear Iran.’

Pengunduran satu pihak berlaku meskipun parti lain dalam perjanjian itu iaitu Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan EU merayu Trump supaya tidak meninggalkan perjanjian yang bertujuan menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear dan memaparkan gaya pemimpin AS untuk melakukannya secara sendirian dan kebenciannya terhadap perjanjian pelbagai pihak itu.
Dalam satu arahan eksekutif semalam, Trump berkata sekatan berusaha memberikan tekanan kewangan ke atas Tehran untuk menguatkuasa ‘satu penyelesaian komprehensif dan berkekalan’ kepada ancaman Iran, termasuk penghasilan peluru berpandu dan aktiviti serantau yang ‘jahat’.
Ketua diplomatik Kesatuan Eropah, Federica Mogherini berkata blok itu, Britain, Perancis dan Jerman amat mengesali tindakan yang dilakukan oleh Washington.
“Kami berazam untuk melindungi operator ekonomi Eropah yang terlibat dalam perniagaan sah dengan Iran,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP