Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ketegangan di sempadan Lubnan

    KFAR CHOUBA, LUBNAN, 9 JUN – Tentera Israel telah melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah tentera di sepanjang sempadan dengan Lubnan hari ini, menyebabkan beberapa penunjuk perasaan dan tentera Lubnan mengalami masalah pernafasan.

    Ketegangan di pinggir perkampungan sempadan Lubnan, Kfar Chouba bermula awal minggu ini selepas penggalian yang dilakukan oleh tentera Israel di kawasan yang dipertikaikan dengan Lubnan itu.

    Pada Rabu lalu, seorang penduduk kampung Lubnan cuba menghalang jentolak Israel daripada menggali parit di sepanjang sempadan tersebut. Sebaik sahaja kaki penduduk itu dilitupi pasir ketika jentolak bergerak ke hadapan, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melompat masuk dan mengarahkan pemandu untuk berundur. Video lelaki warga emas itu yang kakinya tertimbus pasir tular di media sosial.

    Israel menamatkan penaklukannya selama 18 tahun di selatan Lubnan apabila tenteranya berundur dari kawasan itu pada Mei 2000.

    Protes itu berlaku di pinggir Bukit Kfar Chouba, yang dikatakan Beirut sebagai tanah Lubnan yang diduduki oleh Israel. Bukit Kfar Chouba dan Ladang Chebaa yang berdekatan, adalah kawasan yang ditawan oleh Israel semasa Perang Timur Tengah 1967 dan dituntut oleh Lubnan.

    Beberapa penunjuk perasaan hari ini cuba menembusi pagar di kawasan lasak yang diabaikan oleh pos tentera Israel. Tentera Israel melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka manakala tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB kemudiannya bergerak masuk dan menolak penunjuk perasaan ke belakang.

    ‘Jangan Melintas Garisan Biru,’ tulis sepanduk yang dibawa oleh pasukan pengaman PBB dalam bahasa Arab, Inggeris dan Perancis, merujuk kepada sempadan yang ditetapkan selepas pengunduran Israel pada tahun 2000. Tentera Israel dan beberapa kenderaan, termasuk kereta kebal Merkava berperisai tebal, dilihat berada di kawasan tersebut. – AP

    Tentera Lubnan berkawal semasa demonstrasi anti-Israel berhampiran kawasan ‘garisan biru,’ berhampiran perkampungan selatan Lubnan Kfar Shuba pada 9 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...