SITTWE, Myanmar, 21 Sept – Polis Myanmar bertempur dengan perusuh marah yang menyekat penghantaran bantuan di negeri Rakhine dan sembilan orang terbunuh apabila trak Palang Merah terhempas di Bangladesh hari ini, sekali gus menghalang usaha bantuan yang amat diperlukan untuk penduduk Islam Rohingya yang telah melarikan diri daripada keganasan.
Ketegangan kaum masih tinggi di seluruh Rakhine di mana serangan oleh militan Rohingya pada akhir bulan lalu mencetuskan tindakan keras tentera besar-besaran, mengusir lebih daripada 420,000 orang ke Bangladesh dalam apa yang digelar sebagai kempen “penghapusan kaum” oleh PBB.
Kumpulan bantuan bimbang berpuluh ribu orang yang terperangkap di negeri Rakhine berasa terdesak mendapatkan bantuan, walaupun bantuan kemanusiaan masih terjejas meskipun janji kerajaan untuk membenarkan laluan selamat.
Krisis tersebut telah mencetuskan kecaman global ke atas pemimpin de facto negara itu Aung San Suu Kyi kerana enggan menyalahkan tentera berpengaruh Myanmar atas tindakan keras tersebut, yang dikatakan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron bersamaan dengan “pembunuhan beramai-ramai.”
Seramai 300 perusuh beragama Buddha di ibu negeri Rakhine Sittwe berkumpul lewat semalam di jeti di mana sebuah bot yang membawa bantuan bersedia untuk bertolak ke Maungdaw.

Mereka memaksa ICRC Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa) supaya memunggah bantuan daripada bot dan menghalang kapal daripada meninggalkan jeti, lapor akhbar Global New Light of Myanmar hari ini, memetik Jawatankuasa Maklumat Myanmar.
Pegawai polis tiba ketika orang ramai menghampiri jeti, sementara sami Buddha juga cuba menenangkan perusuh, namun orang ramai mulai melontar “batu dan bom Molotov pada polis rusuhan,” kata laporan. Lapan orang ditahan dan beberapa polis mengalami kecederaan sebelum ketenteraman dipulihkan.
ICRC mengesahkan kejadian tersebut dan berkata mereka akan terus berusaha dan menghantar bantuan ke kawasan tersebut.
“Kami akan meneruskan usaha, tidak ada apa-apa yang telah ditangguhkan,” beritahu Graziella Leite Piccoli, jurucakap ICRC untuk Asia, kepada AFP. – AFP