Ketenangan wajar dititikberatkan di hospital psikiatri

SEATTLE – Di sebalik tembok bata yang tinggi dan tingkap yang ditutup rapat-rapat, ratusan pesakit di hospital psikiatrik terbesar di negeri Washington tinggal dalam keadaan yang teruk bagi piawaian kesihatan dan keselamatan AS.

Sementara jururawat dan ahli psikiatri yang bekerja terlalu kuat berkata mereka sedang menggunakan satu sistem yang menghukum pekerja yang bersuara meskipun menghadapi kekurangan kakitangan penting.

“Mereka tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk melindungi pesakit, atau menyediakan penjagaan minimum kepada mereka,” kata Lisa Bowser, di mana ibunya menghabiskan masa selama dua tahun di Hospital Western State dan mengalami berpuluh serangan dan juga jatuh beberapa kali.

“Pergi ke sana bagaikan pergi ke neraka. Secara terus-terang saya menganggap mereka akan membunuhnya sebelum saya berkesempatan untuk mengeluarkannya,” kata Bowser, yang telah menyaman pusat yang dikendalikan oleh kerajaan itu.

Pengawal selia AS dan negeri selama bertahun-tahun telah mendapati pencabulan kesihatan dan keselamatan di hospital yang mempunyai 800 katil, daripada serangan terhadap kakitangan kepada kejadian pesakit berbahaya melarikan diri, termasuk seorang lelaki yang dituduh menyeksa seorang wanita sehingga mati.

Ketenangan wajar ada dalam unit psikiatri demi membantu memberikan perkembangan positif kepada pesakitnya. – AP

Walaupun selepas kejadian melarikan diri pada tahun 2016, seorang penyelia kejururawatan memberitahu The Associated Press bahawa seorang pesakit telah didakwa membunuh dan didapati tidak bersalah atas sebab-sebab tidak siuman ditempatkan di wad yang kurang terkawal dan jururawat berkenaan menghadapi tindakan balas setelah melapor ancaman yang berlaku kepada pesakit tidak ganas.

Meskipun rombakan dalam kepimpinan dan janji untuk membetulkan masalah, hospital tersebut terus mendedahkan pesakit kepada risiko, berdasarkan satu pemeriksaan persekutuan mengejutkan.

Sesetengah pesakit tidak menerima oksigen dan pemeriksaan paras gula, kecederaan yang tidak dirawat dengan baik; mereka ditahan terlalu lama, dan bangunan hospital masih mudah terbakar. Beberapa pencabulan dipetik dalam pemeriksaan sejak tahun 2015.

Selepas diberi peluang bertahun-tahun lamanya, Pusat Perkhidmatan Medicare dan Medicaid AS pada minggu lalu melucutkan perakuan pensijilan dan pembiayaan persekutuan untuk hospital tersebut di Lakewood, berjumlah AS$53 juta setahun dan kira-kira 20 peratus daripada belanjawannya.

Gabenor Jay Inslee berkata beliau mahu kerajaan negeri menukar cara ia mengendalikan pesakit gila dengan satu sistem yang membenarkan sesetengah pesakit tinggal dalam bangunan yang lebih kecil tetapi ia masih belum mencatat kejayaan.

“Kami telah mengambil langkah-langkah untuk mengubah dan memulihkan keadaan dan kami masih meneruskan usaha peningkatan tersebut,” beritahu Demokrat kepada AP.

Ibu Bowser, Sharon Struthers, dimasukkan ke hospital kerana penyakit kemurungan atau depresi pada tahun 2014 dan tinggal di sana sehingga tahun 2015. Bowser berkata dia mulai melihat kesan lebam di badan ibunya dan mendapati fungus di kakinya.

“Mereka enggan memandikannya. Dia akan memberitahu saya pesakit lain memukulnya,” kata Bowser.

Bowser berkata bilik ibunya dipenuhi dengan sampah sehingga menyebabkan dia jatuh lalu mengakibatkan lengan dan pinggulnya patah. Ibunya juga mengalami serangan seksual beberapa kali, kata Bowser.

Kakitangan di hospital beranggapan bahawa seorang pesalah seksual berdaftar yang ditempatkan di wad Struther adalah selamat untuk bergaul dengan pesakit lebih tua disebabkan kerana dia merupakan “orang yang memperkosa kanak-kanak, bukannya perogol orang dewasa,” menurut satu e-mel yang dihantar oleh kaunselor kesihatan mental bertauliah Mark Allen kepada pegawai hospital dan diperoleh oleh peguam Bowser.

“Allen berkata pertemuan tersebut nampaknya berlaku di antara dua orang dewasa yang saling bersetuju. Masalahnya adalah Struthers dimasukkan ke hospital kerana dia tidak dapat menjaga dirinya,” kata peguam Bowser, James Beck.

Struthers meninggal dunia di hospital berlainan pada tahun 2016. Bowser menyaman Hospital Western State dan Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Kesihatan, yang menyelia hospital berkenaan, mendakwa penganiayaan dan pengabaian.

Agensi tersebut enggan memberi sebarang komen mengenai dakwaan itu, terutama merujuk soalan kepada pejabat peguam am negeri, yang tidak membalas beberapa e-mel dan panggilan telefon.

Kelly Stowe, jurucakap DSHS, berkata agensi sedang bekerjasama dengan pejabat gabenor mengenai opsyen pembiayaan selepas pemeriksaan dijalankan pada baru-baru ini yang menelan kos yang tinggi kepada hospital.

Lisa Bowser menjelaskan ibunya, Sharon Struthers kurang mendapat penjagaan yang terperinci dari unit psikiatri sebuah hospital sehingga sering mendapat kecederaan di samping turut menjejaskan tahap kesihatannya. – AP
Sistem kawalan seperti kamer litar tertutup (CCTV) juga harus dilengkapi demi memudahkan kawalan terhadap para pesakit. – AP

Pekerja berkata pihak pengurusan menghukum mereka yang mencabar keputusan tersebut.

Penyelia jururawat, Paul Vilja memfailkan satu aduan pada Disember lalu selepas seorang lelaki yang didapati tidak bersalah atas sebab-sebab tidak siuman berhubung kematian melibatkan beberapa orang dipindahkan daripada wad selamat kepada wad dengan keselamatan terhad.

“Saya mengatakan anda membahayakan nyawa pesakit dan menghadapi risiko melarikan diri,” beritahu Vilja kepada AP.

Jabatan Kesihatan bersetuju dengan kebimbangan Vilja, namun dia dipindahkan ke jabatan rekod perubatan dalam masa seminggu.

Dia tidak dapat bekerja dengan pesakit selama enam bulan tetapi baru-baru ini diberitahu dia boleh berpindah semula ke wad berkenaan. Vilja telah memfailkan satu aduan pemberi maklumat.

Pakar psikiatri berkata mereka menghadapi layanan yang sama.

Tiga orang berkata mereka ditegur kerana membantah keputusan pengurusan yang menimbulkan risiko kepada pesakit dan kakitangan.

Dua orang dipecat, dan seorang lagi dipindahkan daripada penjagaan pesakit.

Dr Michael Quayle menyaman hospital itu mendakwa beliau menghadapi persekitaran kerja yang tidak selamat selepas melaporkan daging yang telah luput tarikhnya dan yang tidak disimpan dengan baik. Seorang juri membayarnya AS$550,000 pada Disember 2016.

Dr Joseph Wainer menulis satu editorial dalam surat akhbar tempatan dan kenyataan untuk sebuah mahkamah mendakwa “satu budaya sistemik yang terdiri daripada tindakan balas, diskriminasi dan perbuatan membuli.” Beliau juga telah disiasat dan disuruh untuk meninggalkan hospital itu.

Dr Jay Jawad berkata beliau membantah keputusan pengurusan untuk membenarkan pesakitnya keluar daripada hospital dan menghadapi siasatan dan kehilangan tanggungjawab dalam bidang klinikal.

Wainer dan Jawad diberitahu selepas itu bahawa siasatan telah ditutup tanpa sebarang keputusan. Mereka telah menyaman hospital dan jabatan kesihatan dengan dakwaan tindak balas.

Hospital tersebut telah kehilangan 15 pakar psikiatri dalam tempoh tiga tahun tanpa sebarang pengambilan pakar baru, menurut seorang pekerja hospital yang tidak mahu namanya disiarkan kerana bimbang dipecat.

Sebaliknya, institusi berkenaan menggaji ‘pendidik jururawat’ dan bukannya jururawat yang tidak berjumpa dengan pesakit, kata pekerja itu.

Penggubal undang-undang telah mendesak hospital supaya menubuhkan model pengambilan kakitangan yang akan membenarkan pembiayaan yang cukup untuk jururawat, tetapi hospital asyik meminta wang kerja lebih masa yang ‘tidak dapat dijelaskan’, kata Republikan Laurie Jinkins. – AP