Ketengahkan bakat pembikinan filem tempatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam melalui Program Industri Reka Bentuk dan Kreatif (DCI), baru-baru ini, telah mengadakan edisi ke-3 Festival Filem Pendek PRISM UBD.

Festival sehari pada 17 November yang berlangsung di Dewan Kuliah 2 di Bangunan ICTC itu bermula dengan tayangan pembukaan dengan filem pendek bertajuk ‘Balau’ yang dihasilkan oleh anak tempatan, Abdul Zainidi.

Selain tayangan filem, sesi perbincangan meja bulat juga diadakan pada sebelah petang yang menumpukan kepada merapatkan jurang antara industri dan institusi pengajian tinggi.

Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli akademik dari FASS, UBD dan wakil dari industri media Brunei.

Turut hadir dalam tayangan tersebut ialah Timbalan Dekan FASS, Dr Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud; Ketua Program DCI, Dr Rui Oliveira Lopes, staf akademik dan pentadbiran dari UBD, pembuat filem pelajar bersama rakan dan keluarga mereka.

Tetamu khas untuk PRISM tahun ini, Dekan Mahakarya Institute of the Arts Asia, Dr Alexander J Fischer serta wakil industri media, Pemangku Ketua Bahagian Program TV Radio Televisyen Brunei (RTB) Aminal Metali, Harlif Haji Mohamad dan Nurain Abdullah dari Regalblue Production, Dhimas Ananda dari Pengurusan Origin Artistic, Abdul Zainidi dari Brurealism Picture, Aaqiil Ahmad dari Filterworks Productions, pelakon TV dan filem, Mimi Rahzia, serta Olivia Ong dan Charlotte Lim dari Progresif Media.

Sebanyak 27 karya telah dipamerkan dan dipertandingkan dalam tujuh kategori bagi PRISM tahun ini.

Pemenang bagi setiap kategori ialah ‘Voyager: 2100’ (Kategori Pawagam 3 Minit dengan kamera digital), ‘Burger Ayam Madu Panas’ (Komersial), ‘Suara’ (Komedi dan Keluarga), ‘Memikat’ (Animasi), ‘Liga Maut’ (Ngeri dan Seram), ‘Cyberchondria’ (PSA), dan ‘Haunted’ (Pawagam 3 Minit menggunakan telefon pintar).

Manakala itu, ‘Haunted’ memenangi Anugerah People’s Choice dengan 37 peratus undian daripada 141 jumlah undian.

Festival Filem Pendek PRISM UBD dianjurkan bersama oleh Penyelaras Program DCI, Dr Yong Liu dan Penolong Pensyarah Pengajian Bahasa Inggeris, Mayyer Ling Mohammad Tony Ling untuk tiga tahun berturut-turut.

Berikutan pandemik COVID-19, acara ditangguhkan dari April hingga November dan ini telah membolehkan lebih banyak filem ditayangkan dalam kategori tambahan seperti Komersial dan PSA.