Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Ketepatan lebih penting daripada jarak?

    Oleh Raz AS

    Jika awda rajin meluangkan masa menonton video-video atau rancangan-rancangan memancing, tidak kiralah melalui laman Youtube atau mana-mana pun, hampir setiap pemancing-pemancing ternama dan para profesional yang berjaya di kejohanan memancing peringkat tinggi mempunyai satu persamaan.

    Apakah dia persamaan tersebut? Bukan peralatan, bukan umpan, bukan teknik, bukan jenis ikan yang diburu, bukan juga rupa paras, jantina mahupun bangsa mereka. Tetapi tidak lain tidak bukan, mereka sangat pakar dalam aspek lontaran dan ketepatan lontaran mereka sangat mengagumkan.

    Tidak kiralah baitcaster, spinning reel, fly fishing atau apa saja set pancing yang menjadi senjata kegemaran mereka, pemancing-pemancing ini berjaya menguasainya seakan-akan ia sebahagian daripada anggota tubuh badan mereka sendiri.

    Setiap kali lontaran dibuat umpan berjaya diletakkan tepat di tempat yang mereka inginkan, meskipun keadaan sekelilingnya seakan-akan mustahil untuk berbuat demikian. Sampai kita yang biasa-biasa ini hanya mampu ternganga atau menggeleng-geleng kepala.

    Contohnya tengok saja video Gong Lei membuat lontaran dengan bola ping pong bergolek dijadikan sebagai sasaran, atau pemancing profesional Amerika Syarikat, Jacob Wheeler melabuhkan umpannya di celah-celah pepohonan yang separuh tenggelam.

    Kemahiran melontar umpan dengan tepat sama pentingnya dengan kemahiran membuat lontaran jauh, bahkan kadang-kadang ia jauh lebih penting lagi untuk melabuhkan umpan di tempat di mana ikan berada, terutama di kawasan yang sukar dan banyak halangan untuk membuat lontaran. – Agensi
    Meletakkan umpan di tempat yang tepat merupakan faktor yang penting untuk meningkatkan peluang mendapat ikan. – Agensi

    Rata-rata pemancing-pemancing hebat ini mengakui bahawa kemahiran untuk membuat lontaran yang tepat adalah sama pentingnya dengan kemahiran membuat lontaran jauh, bahkan lebih ramai lagi yang berpendapat bahawa ketepatan adalah lebih penting lagi daripada jarak.

    Salah satu alasannya, jika hendak melabuh umpan di tempat jauh dapat diagak supaya dekat, sama ada dengan berjalan kaki atau berperahu, tetapi jika hendak melabuh umpan di mana tempat ikan berada dan bersembunyi, ketepatan lontaran adalah sangat-sangat diperlukan.

    Sama ada awda peman-cing tegar atau hanya turun memancing sekali-sekala, pasti awda menyedari bahawa meletakkan umpan di tempat yang tepat merupakan faktor yang penting untuk meningkatkan peluang mendapat ikan.

    Memanglah kadang-kadang kita hanya pacut-pacut buta, terutama sekali semasa memancing dari tebing, kalau ikutkan rasa hati mahu kosong rasanya tali dalam spool, menyebalah sungai jauhnya umpan dilontar barulah puas hati.

    Namun bayangkan tidak jauh dari tempat kita ada reba atau struktur yang diyakini tempat ikan bersembunyi, atau lebih membuat jantung berdebar kita ternampak kelibat ikan bersaiz idaman di sana.

    Dengan penuh harapan umpan kita lontarkan agar berada di zon strike dan menarik perhatian sang ikan untuk menerkamnya, namun apa yang terjadi umpan yang dilontar jauh tersasar dari sasaran atau dengan tidak sengaja tepat gugur di atas kepala ikan, mengakibatkannya terkejut dan melarikan diri, atau lebih teruk lagi umpan lure mahal yang menjadi kegemaran kita tersangkut di atas pokok berdekatan.

    Teknik melontar merupakan rutin yang perlu dilatih secara berulang-ulang kali. Waktu terbaik untuk berlatih ketepatan lontaran adalah pada waktu bukan memancing. Ini kerana jika awda menggunakan masa memancing untuk berlatih ia akan mengorbankan masa di padang pancing dan peluang untuk mendapat ikan.

    Jika tiada masa untuk berada di badan-badan air untuk berlatih, latihan boleh juga dilakukan di kawasan lapang seperti di halaman rumah atau tanah lapang seperti padang bola dan taman. Sediakan objek untuk dijadikan sebagai sasaran seperti lingkaran hula hoop, baldi, tayar terpakai atau apa sahaja beberapa meter dari tempat awda berdiri.

    Cubalah untuk melontar lure yang matakailnya sudah dilepaskan, batu ladung atau practice plug hampir pada objek tersebut atau jika boleh tepat ke sasaran.

    Jika sudah semakin mahir awda boleh cuba untuk melontarnya ke sasaran yang lebih kecil seperti botol, gelas dan lain-lain.

    Ulang latihan berkali-kali sehingga setiap lontaran tepat pada sasaran setelah itu anda bolehlah menambah jarak antara tempat anda berdiri dan sasaran yang diletakkan.

    Sebaiknya juga berlatih lebih daripada satu teknik melontar, seperti teknik overhead, backhand, foward, rolling dan flipping, kerana kita tidak tahu faktor keadaan di padang pancing yang boleh menghalang kita membuat lontaran dengan selesa.

    Sementara itu bagi sesetengah lontaran seperti teknik skipping pula memerlukan awda sedikit rajin untuk turun ke kolam atau badan-badan air berdekatan untuk berlatih.
    Jangan mudah tawar hati sekiranya gagal setelah mencuba beberapa kali bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...