Ketepikan perbezaan perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 19 JAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya rakyat mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bagi memerangi COVID-19 yang berterusan mencatatkan kes positif harian empat angka, sejak hujung tahun lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda yakin, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu untuk sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan COVID-19, sekali gus meringankan beban dipikul petugas barisan hadapan.

Menurutnya, baginda menzahirkan kegusaran, melihat peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Lembah Klang, yang mencatatkan kenaikan mendadak kes-kes positif.

“Berikutan peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil ICU ini, pesakit-pesakit jangkitan COVID-19 yang kritikal, terpaksa ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang lain, dan ini boleh menjejaskan rawatan pesakit-pesakit bukan COVID-19 yang lain,” titah Al Sultan Abdullah menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Semalam, negara merekodkan sebanyak 3,306 kes jangkitan COVID-19 baharu, manakala 15 hospital COVID-19 dilaporkan mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian mereka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan, dengan bersama-sama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah yang ditetapkan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi, segala usaha dilakukan semua pihak dalam memerangi COVID-19 diberkati dan berjaya, serta negara sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera. – Bernama

Pelukis mural Amir Andahar Abu Samah menyiapkan lukisan muralnya yang bertemakan ‘Barisan Hadapan’ anjuran Balai Seni Negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pandemik COVID-19 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. – Bernama