MARDAN – Kelihatan enam orang lelaki duduk bersila di atas lantai sambil gigih melakukan kerja-kerja menjahit di Needles Tailoring, bersempena dengan ketibaan musim perkahwinan yang bakal menjelma tidak lama lagi di Pakistan.
Mengikut tradisi yang diamalkan sebelum ini, tukang jahit lelaki di bandar Mardan terletak di wilayah konservatif, Khyber Pukhtunkhwah, Pakistan bersempadan dengan Afghanistan hanya dibenarkan untuk menjahit pakaian yang ditempah oleh pelanggan lelaki.
Seiring dengan peredaran semasa dan kehendak, tradisi itu juga mula turut ditinggalkan bagi memberi laluan kepada kaum lelaki untuk berpeluang menyediakan rekaan gaun yang digayakan oleh pengantin perempuan.
Kini, kebanyakan wanita seperti yang berasal dari kawasan konservatif juga semakin terbuka untuk memiliih tukang jahit dalam kalangan lelaki terutama dalam mengambil kira akan kemahiran yang mereka miliki dalam seni jahitan.
Kebanyakan tukang jahit di Mardan kelihatan sangat sibuk dalam menyediakan rangkaian koleksi busana lelaki dan perempuan untuk digayakan semasa majlis perkahwinan nanti.
“Bulan ini, tempahan yang diterima memang sangat banyak terutama tempahan pakaian pelanggan sempena Aidilfitri dengan tempahan pakaian yang bakal diperagakan semasa majlis perkahwinan,” jelas Ketua Tukang Jahit di Mardan, Badshah Khan.
“Kami seolah-olah melakukan pekerjaan pada kadar dua kali ganda sehingga kebanyakan tukang jahit juga harus meluangkan masa menjahit selama 10 ke 12 jam sehari,” jelasnya. – AP