Keterujaan kembali keluar bersiar bersama keluarga

BARCELONA, SEPANYOL – Selepas enam minggu terperap bersama anak kembar berusia tiga tahun, ibu Susana Sabate akhirnya boleh melepaskan anak lelakinya yang aktif bersiar-siar di jalan Sepanyol.

Kerajaan Sepanyol membatalkan peraturan perintah berkurung untuk kanak-kanak di bawah 14 tahun selepas 44 hari pada Ahad, justeru mengakhiri langkah ‘lockdown’ paling ketat negara untuk membendung wabak koronavirus yang telah meragut lebih daripada 22,000 nyawa di negara Eropah itu. Malah Itali, dengan lebih banyak kematian berbanding Sepanyol, masih belum mengasingkan kanak-kanak mereka sepenuhnya.

“Ini sungguh menyeronokkan! Saya tidak percaya sudah enam minggu kami tidak keluar,” kata Sabate, 44 tahun, di Barcelona. “Anak lelaki saya amat aktif. Hari ini apabila mereka melihat pintu depan dan kami memberikan skuter kepada mereka, mereka berasa sungguh teruja.” Anak lelaki Sabate memakai penutup mulut dan hidung saiz kanak-kanak apabila mereka keluar. Beliau berkata mereka sudah biasa melihat ibu bapa mereka memakai penutup mulut apabila mereka keluar, maka beliau percaya adalah lebih senang untuk memujuk mereka memakainya sebelum keluar.

“Kami akan melihat berapa lama mereka bertahan,” katanya.

Gustavo Tapia, suami Sabate, berkata membawa anak lelaki Tomas dan Zacarias untuk berjalan-jalan di kawasan jiran merupakan satu kegembiraan.

Keluarga bersama anak mereka duduk di sesiaran tatkala polis meronda di kawasan pantai, yang dilarang akses kepada orang ramai di Pamplona, utara Sepanyol. – AP
Irati, 3 tahun, berjalan-jalan bersama ibunya Montse Fernandez di Pamplona, utara Sepanyol. – AP

“Ia rasa seolah-olah kami telah menemui semula jalan raya,” kata Tapia. “Mereka benar-benar rasa seronok melihat benda-benda yang selalu mereka lihat sebelum ini. Misalnya, apabila mereka melihat lampu isyarat, mereka mula menjerit ‘Hijau, Hijau!’ Mereka juga suka melihat semut dan serangga lain.”

Seramai 5.8 juta kanak-kanak di Sepanyol di bawah umur 14 tahun kini dibenarkan berjalan-jalan sekali sehari, ditemani oleh seorang ibu bapa selama satu jam dan dalam jarak satu kilometer dari rumah. Ramai budak-budak mengeluarkan basikal dan skuter mereka.

Kanak-kanak boleh membawa satu barang mainan bersama mereka, tetapi mereka tidak boleh bermain dengan kanak-kanak lain. Mereka boleh menemani ibu bapa keluar membeli-belah untuk makanan, ubat ataupun surat khabar. Taman masih ditutup di Barcelona dan Madrid. Pihak berkuasa mencadangkan ibu bapa dan anak mereka mencuci tangan mereka sebelum dan selepas keluar bersiar-siar.

Pihak berkuasa telah menolak permintaan sesetengah ibu bapa supaya membenarkan kanak-kanak keluar sehingga sekarang, memetik kebimbangan bahawa mereka mungkin menjadi sumber penularan walaupun kanak-kanak nampaknya jarang jatuh sakit akibat virus baharu itu.

Larangan dibatalkan pada pukul 9 pagi. Selepas beberapa penduduk yang bangun awal untuk keluar di jalan yang lengang sebelum ini, ramai yang tidak dapat menahan daripada mengunjungi sesiaran pantai, paling dekat yang dapat mereka pergi adalah kawasan pasir yang masih dilarang kepada orang ramai. Bangku dengan pemandangan laut Mediterranean dipenuhi orang awam, ada di antara mereka, tetapi bukan semua, memakai penutup mulut dan hidung. Polis memberitahu seorang jurugambar Associated Press bahawa mereka menghadapi masalah menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial yang mewajibkan keluarga mengekalkan jarak satu meter di antara satu sama lain.

Menteri Kesihatan Salvador Illa berkata maklumat yang diterimanya menandakan ‘sekatan pada umumnya telah dipatuhi,’ tetapi ‘kami akan menilai situasi dan mengambil langkah jika perlu.’ Bagaimanapun, sesetengah pihak berkuasa tempatan, mengenakan denda ke atas mereka yang melanggar peraturan.

Datuk bandar Valencia Sandra Gomez menyiarkan video di akaun Twitter beliau menunjukkan sekumpulan kanak-kanak menendang bola bersama di sebuah taman, dengan lebih ramai orang berkerumun di belakang. “Tanggungjawab. Kami telah membuka taman untuk orang berjalan-jalan di kawasan riadah bukannya untuk bola sepak,” tulis Gomez. “Bayangkan apa yang difikirkan oleh pemilik restoran dan kedai yang ditutup jika mereka melihat apa yang anda lakukan. Peringatan: apa yang tidak berkesan akan ditarik balik.”

Sepanyol mempunyai salah satu ‘lockdown’ paling ketat di dunia tatkala ia berusaha mengekang wabak COVID-19 paling teruk yang telah menjangkiti lebih 200,000 orang. Sejak bermulanya keadaan darurat Sepanyol pada 14 Mac, orang dewasa hanya boleh meninggalkan rumah untuk membeli-belah barang keperluan atau pergi ke tempat kerja.

Langkah tersebut telah membantu mengurangkan kadar jangkitan harian yang mencecah 20 peratus sebulan lalu kepada kurang 1 peratus pada Ahad. Ia telah mengurangkan tekanan ke atas hospital yang hampir-hampir merosot di bawah bebanan penyakit berkenaan.

Pihak berkuasa menegaskan pelonggaran sekatan seterusnya akan bergantung pada mengekalkan kecenderungan positif. Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata beliau merancang membenarkan orang dewasa keluar untuk bersenam pada minggu depan.

“Adalah penting kami melaksanakan langkah ini, membenarkan kanak-kanak keluar dengan syarat mereka mematuhi peraturan,” kata Sanchez. “Kami tidak boleh memandang remeh musuh yang kami hadapi. Setiap keluarga mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab; seperti yang telah dilakukan oleh mereka sekarang. Jika aktiviti bersiar-siar dilakukan mengikut peraturan dan kami boleh mengesahkan tidak adanya jangkitan, langkah pembatalan akan menyusuli pada minggu berikutnya.

Ibu bapa masih tidak tahu bila sekolah akan dibuka semula. Hanya pekerja kilang dan pembinaan sudah kembali bekerja selepas berehat selama dua minggu. Semua kedai runcit tidak penting masih ditutup.

“Keadaan adalah sukar kerana mereka mempunyai kelas dalam talian dari pukul 9 hingga 1 petang,” kata David Terron, bapa kepada dua anak lelaki, di jalan Madrid. “Isteri saya dan saya bekerja dari rumah dan adalah amat sukar untuk menyelaras dan menjaga mereka serta memberikan tumpuan pada pelanggan dan bos dan rakan sekerja pada masa yang sama.”

Untuk anak lelaki Terron yang berusia 10 tahun, Alberto, berjalan-jalan adalah menyeronokkan, tetapi ada sesuatu yang tidak kena. “Saya mahu pengurungan ini berakhir supaya kami boleh kembali ke sekolah bersama kawan saya,” kata Alberto. – AP