Ketibaan dari luar negara di S’wak wajib kuarantin

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Semua ketibaan dari luar negara di pintu masuk Sarawak diwajibkan melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan oleh kerajaan negeri berkenaan, berkuat kuasa semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang terlibat juga perlu menjalani ujian saringan pada hari kedua dan hari kesepuluh.

“Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri manakala bagi bukan rakyat Sarawak, kos kuarantin adalah atas tanggungan sendiri,” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Bagi warga Malaysia yang tiba di pintu masuk Sarawak, mereka dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, namun mereka perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara atas talian (e-HDF) terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 21,217 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. – Bernama