Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Ketibaan musim bunga bawa keceriaan, ketenangan

    HALLE, BELGIUM – Keindahan alam semula jadi menyerlah sekali lagi pada musim bunga ini – menawarkan pemandangan bunga bluebell dalam lautan warna ungu di taman di selatan Brussels.

    Namun kali ini, sesiapa pun boleh menikmati pemandangan yang sungguh indah itu berikutan langkah pandemik selama dua tahun yang menegah pelawat daripada mengunjungi taman berkenaan. Lebih daripada itu, bunga yang berkembang mekar – sama ada di Jepun, Belanda atau pun Belgium – boleh menjadi penawar kepada kekusutan fikiran atau memberikan ketenangan jiwa terutamanya kebimbangan mengenai COVID yang melanda dunia sekarang dan peperangan.

    “Ia membantu mengalihkan kerisauan tentang peperangan yang sedang berlaku di Ukraine dan segala-galanya, disebabkan awda boleh menjadi amat asyik ketika menghayati keindahan alam semula jadi,” kata Hogne Gjersvik dari Bergen, Norway, ketika dia menghidu aroma harum bunga bluebell serta bunyi ciap segala jenis burung. “Ia benar-benar membantu. Sekarang, kami telah digalakkan di Norway untuk melakukan banyak aktiviti berjalan dan awda tahu, jangan duduk di rumah terlalu lama dan keluarlah dari rumah untuk menikmati alam semula supaya awda berasa tenang… kembali kepada keadaan asal minda awda.”

    Tidak ada tempat yang lebih baik untuk melakukannya pada pertengahan April daripada mengunjungi festival bunga bluebell dan Hallerbos, yang dibuka sepenuhnya buat pertama kali sejak COVID melanda lebih dua tahun lalu.

    Puluhan ribu orang telah pun membanjiri jalan-jalan semasa sambutan Easter pada hujung minggu lalu. Walau bagaimanapun, Selasa, seperti mana-mana hari Isnin hingga Jumaat, memberikan lebih banyak ruang untuk mereka yang mencari ketenangan dan kedamaian fikiran, sesuatu yang sering kali kekurangan dalam dunia yang kini tertumpu pada peperangan di Ukraine, atau ratusan juta penduduk yang telah menderita sepanjang tempoh pandemik.

    Bunga bluebell berkembang mekar sekali lagi di hutan Hallerbos di selatan Brussel, Belgium. – AP
    Pelawat melihat bunga sakura dari jambatan pejalan kaki di daerah Roppongi di Tokyo. – AP
    Pelawat merakamkan gambar semasa pameran Floriade di Almere. – AP
    Bunga tulip yang sedang berkembang di taman Keukenhof, Belanda.

    “Alam semula jadi merupakan penawar kepada manusia – biarlah kami jelas mengenainya,” kata Marc Snoeck, datuk bandar Halle yang selama dua tahun berturut-turut terpaksa memastikan tidak ramai pelawat yang datang ke hutan kecil yang terbentang luas sesaujana mata memandang dilitupi dalam warna biru dan ungu.

    “Terdapat tajuk utama yang berbunyi: ‘Datuk bandar menggesa orang ramai supaya jangan datang.’ Itu bukan apa yang awda mahu kerana awda mahu orang menikmati fenomena ini. Namun keadaan tidak membenarkan ia berlaku.”

    Berdasarkan jumlah orang yang ramai, hutan kecil itu mungkin menyaksikan lebih daripada 100,000 pelawat sekali lagi dalam masa beberapa minggu apabila bunga bluebell berkembang mekar.

    “Ramai orang berasa kesepian. Disebabkan mereka boleh menghadiri acara sekali lagi seperti di hutan kecil di sini, yang memaparkan ketenangan apabila berada dalam hutan, perasaan tersebut adalah amat baik untuk orang ramai,” kata Snoeck.

    Dan pada tahun ini, di seluruh hemisfera utara, keadaan telah berubah menjadi lebih baik dengan jauh lebih kurang had dikenakan ke atas mereka yang ingin keluar dan menikmati apa yang dapat ditawarkan oleh alam semula jadi, tanpa berasa bimbang mengenai akibatnya.

    Kepulangan kepada keadaan normal turut terasa di Belanda, di mana taman bunga terkenal Keukenhof dibuka semula selepas dua tahun ditutup disebabkan pandemik koronavirus.

    Minggu lalu, ketika beribu-ribu pelawat berjalan di bawah sinaran cahaya matahari musim bunga di sepanjang batas yang dipenuhi bunga tulip beraneka warna, keladi bunting dan bunga lain, Biskop Katolik bandar Rotterdam, Hans van den Hende menekankan kebaikan bunga hari ini ketika hantaran dihantar ke Vatican.

    “Amat dekat di tempat sini di Eropah, kami melihat peperangan dan pemusnahan, dan juga di luar Eropah – ia bagaikan realiti setiap hari. Dengan menghantar bunga berkenaan ke Rom, kami bukan menghantar apa-apa yang berkaitan dengan kebencian, tidak ada apa-apa yang berkaitan dengan peperangan dan pertempuran berdarah tetapi apa yang penting, perdamaian dan kegembiraan.”

    Di Jepun juga, musim bunga dua minggu lalu membawa perasaan yang sama ketika orang ramai menikmati musim bunga sakura berkembang mekar tanpa sekatan seperti yang dilaksanakan dua tahun lalu.

    Ia merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan di bandar metropolis sibuk seperti Tokyo.

    “Saya rasa seperti kehidupan telah kembali kepada normal akhirnya,” kata pemilik kafe berusia 62 tahun, Takanori Shiwaku. “Di sini di kawasan bandar, penduduk telah menunggu sekian lama untuk menikmati keindahan musim bunga sekali lagi.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...