Ketibaan vaksin suntik semangat Malaysia lawan COVID-19

KUALA LUMPUR, 21 FEB – Malaysia kini menyertai komuniti global dalam perjuangan yang makin bertambah sengit menentang koronavirus, susulan ketibaan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang membuka langkah awal ke arah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Kumpulan pertama 312,390 dos vaksin yang ditunggu-tunggu tiba di Malaysia, melalui Singapura, pangkalan bagi pengagihan vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia Pasifik, menerusi darat dan udara.

Penerbangan khas MH604, dengan pesawat tertera lambang Jalur Gemilang (bendera kebangsaan), membawa peranti muatan unit (ULD) vaksin mendarat pada pukul 10:07 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kira-kira 50km dari pusat bandar raya.

Sebahagian daripada kumpulan pertama vaksin itu diangkut dari Singapura ke Johor, tiba di Senai pada pukul 2:45 petang.

Di KLIA, ULD dimuatkan dari bahagian kargo pesawat ke dalam trak milik syarikat DHL di Pusat KargoTermaju (ACC).

Lebih 300,000 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA. – Bernama

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berada di KLIA semasa ketibaan vaksin dan sehingga ia dibawa ke tempat penyimpanan.

Kumpulan pertama vaksin dihantar menggunakan jalan udara dan darat ke 16 pusat penyimpanan DHL, enam daripadanya di Selangor, empat di Johor, tiga di Kuala Lumpur, dua di Pulau Pinang dan satu di Putrajaya.

Semua pergerakan vaksin dijalankan dengan pengawasan rapi oleh pasukan polis.

Rabu ini, dua hari sebelum jadual asal, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin, di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas mesyuarat kabinet di pejabat Perdana Menteri.

Dr Noor Hisham Abdullah juga akan menerima suntikan vaksin itu di tempat yang sama kemudiannya, di ikuti dengan beberapa petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan. Vaksin Pfizer perlu disuntik dua kali dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Sehingga kini 571,802 petugas barisan hadapan telah mendaftar bagi program vaksinasi, dengan 57.3 peratus daripada mereka adalah petugas perubatan dan kesihatan, dan 42.7 peratus daripada lain-lain sektor. – Bernama