Ketibaan Wei Lun, Muhammad Ziyad disambut meriah

SEPANG, 3 SEPT – Pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Chew Wei Lun dan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli tiba di tanah air hari ini disambut dengan laungan ‘Demi Malaysia’.

Uniknya, selain disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dua mantan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir menyambut kepulangan wira-wira Paralimpik Malaysia itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wei Lun yang merangkul pingat perak acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) dan Muhammad Ziyad antara lapan anggota kumpulan Kontinjen Malaysia termasuk tiga atlet daripada sukan para renang, para olahraga dan boccia tiba di sini, pada 5.09 petang dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH0071.

Seorang lagi atlet Malaysia ialah Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yang bertanding dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki (SB4) dan 200m gaya bebas lelaki (S5) yang telah menamatkan cabaran di Tokyo. – Bernama