Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketika hantaran media sosial tular bawa padah

    Dunia saya runtuh dalam satu malam. Semuanya bermula dengan satu hantaran di media sosial — satu pandangan peribadi yang saya kongsikan tanpa memikirkan kesannya. Dalam masa beberapa jam, hantaran itu menjadi tular. Tetapi bukan dalam cara yang baik. Komen demi komen mencemuh saya, menuduh saya tidak sensitif, menuntut permohonan maaf.

    Saya menjadi mangsa ‘kecaman beramai-ramai’.

    Pada awalnya, saya cuba menjelaskan. Namun, semakin saya cuba, semakin keadaan bertambah buruk. Rakan-rakan mula menjauh, dan saya merasa seperti seorang pelarian di dunia maya. Saya memutuskan untuk memadam akaun media sosial saya dan mengambil masa untuk refleksi.

    Dalam tempoh itu, saya menyedari bahawa perkataan mempunyai kuasa besar. Apa yang kita tulis boleh memberi kesan yang mendalam — sama ada positif atau negatif. Saya juga belajar bahawa tidak semua perkara perlu dinyatakan. Kadang-kadang, lebih baik mendengar daripada bercakap. Selain itu, saya sedar bahawa media sosial bukan dunia sebenar. Walaupun kritikan dalam talian menyakitkan, ia tidak mendefinisikan siapa kita sebenarnya.

    Kini, saya kembali ke media sosial dengan pendekatan berbeza. Saya lebih berhati-hati, lebih empati, dan lebih menghargai ruang untuk perbincangan yang membina. Tetapi persoalannya, adakah ‘kecaman beramai-ramai’ cara yang efektif untuk mendidik seseorang, atau ia hanya menambahkan lagi jurang perpecahan? Saya ingin tahu, apa pandangan awda mengenai isu ini? Adakah awda pernah menjadi mangsa ‘kecaman beramai-ramai’ atau mungkin menyaksikannya?

    Luqman

    Gambar Canva

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Luqman. Kecaman beramai-ramai di media sosial memang boleh membawa kesan yang mendalam kepada seseorang.

    Sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada perkara yang tidak diinginkan seperti yang pernah dilaporkan dalam akhbar.

    Dang MP memuji tindakan yang bijak daripada Luqman sebagaimana yang diceritakan iaitu memadam akaun media sosial untuk sementara waktu dan mengambil masa untuk berfikir terlebih dahulu.

    Ini adalah langkah yang penting dalam menangani kecaman beramai-ramai yang boleh mendatangkan gangguan mental terhadap seseorang.

    Jelaslah bahawa dalam dunia media sosial, tindakan seperti berkongsi pandangan peribadi boleh berkembang menjadi sesuatu yang tidak terkawal. Kata-kata memiliki kuasa besar yang boleh mempengaruhi emosi orang lain dan diri kita sendiri sama ada negatif atau positif.

    Namun, penting untuk kita ingat bahawa media sosial bukanlah gambaran sebenar diri kita. Begitu juga dengan gambaran orang lain. Pengalaman sebegini boleh dijadikan pengajaran terhadap kita semua agar lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan dalam media sosial.

    Kadangkala ada baiknya kita berdiam diri sahaja daripada memberi komen sekiranya kita kurang maklumat terhadap isu yang dibincangkan atau isu-isu sensitif yang boleh menganggu keharmonian antara kita, rakan-rakan mahupun pengguna lain dalam media sosial.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda