Ketua Credit Suisse letak jawatan

GENEVA, SWITZERLAND, 7 FEB – Ketua Credit Suisse, Tidjane Thiam berkata hari ini beliau akan meletak jawatan pada minggu depan, tatkala skandal pengintipan membelenggu bank kedua terbesar Switzerland.

Kedudukan Thiam nampaknya tidak dapat dipertahankan selepas pendedahan bahawa bank telah mengintip pekerjanya serta bekas eksekutif tertinggi, dan dakwaan ia juga mengawasi Greenpeace.

“Saya telah bersetuju dengan Lembaga bahawa saya akan melepaskan peranan saya sebagai CEO,” kata Thiam dalam kenyataan.

Credit Suisse berkata lembaganya telah ‘sebulat suara menerima’ surat peletakan jawatan Thiam, yang akan berkuat kuasa pada 14 Februari, sehari selepas pembentangan keputusan suku keempat bank untuk tahun 2019.

Beliau akan diganti oleh ketua operasi bank Swiss sekarang, Thomas Gottstein, katanya.

Thiam, warga Perancis-Ivory Coast berusia 57 tahun, sebelumnya memegang jawatan tertinggi di syarikat insurans Britain, Prudential sebelum menerajui tampuk pentadbiran Credit Suisse lima tahun lalu. – AFP

Gambar bertarikh 23 Januari 2018 menunjukkan CEO Credit Suisse, Tidjane Thiam menghadiri satu sesi pembukaan mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, timur Switzerland. – AFP