Ketua dadah dikehendaki ditangkap

BOGOTA, 24 OKT – Pengedar dadah paling dikehendaki di Colombia, ‘Otoniel’ telah ditangkap, kata para pegawai kelmarin, satu kejayaan besar bagi kerajaan yang terkenal sebagai pengeksport kokain di dunia.

Dairo Antonio Usuga, yang mengetuai geng pengedaran narkotik terbesar di negara itu dikenali sebagai Gulf Clan, telah ditangkap dekat salah satu operasi utamanya di Necocli berhampiran sempadan dengan Panama.

Rakaman imej didedahkan kerajaan menunjukkan Otoniel berusia 50 tahun, digari dan dikelilingi tentera.

Presiden Ivan Duque, berkata penahanan Otoniel adalah kejayaan besar dan boleh dibandingkan dengan kejatuhan raja penyeludup dadah Colombia, Pablo Escobar.

“Ini adalah serbuan paling sukar dan berjaya dalam menumpaskan sindiket penyeludupan dadah pada abad ini,” katanya.

Ketua dadah paling dikehendaki, Dairo Antonio Usugu alias Otoniel selepas ditangkap di Bogota. – AFP

Kira-kira 500 askar disokong dengan 22 buah helikopter telah dikerahkan ke perbandaran Necocli untuk menjalankan operasi itu, yang mengakibatkan seorang pegawai polis terbunuh.

Siaran langsung daripada polis kemudian menunjukkan Otoniel yang digari mendarat di Bogota sebelum ditahan di bawah kawalan keselamatan ketat.

Ketua polis Colombia, Jorge Vargas berkata semasa sidang media yang pihak berkuasa telah menjalankan ‘operasi satelit penting bersama agensi-agensi dari Amerika Syarikat dan United Kingdom’.

Menurut polis, Otoniel telah bersembunyi dalam hutan di rantau Uraba, tempat asalnya dan tidak menggunakan telefon, hanya bergantung pada keldai dadah untuk berkomunikasi. Bimbang dengan pihak berkuasa, dia ‘tidur di sana dalam kehujanan, tidak pernah mendekati kawasan berpenduduk,” kata Vargas.

AS pernah menawarkan ganjaran AS$5 juta bagi sebarang maklumat mengenai penangkapan Otoniel, salah seorang lelaki paling digeruni di Colombia. – AFP