Ketua dadah Mexico diekstradisi ke AS

NEW YORK, 20 Jan – Ketua dadah Mexico Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, salah seorang penjenayah paling terkenal di dunia, diekstradisi ke AS semalam untuk menghadapi dakwaan sehari sebelum pelantikan Trump.

Guzman memimpin kartel Sinaloa, yang dituduh mencetuskan kebanyakan keganasan dalam perang dadah berdekad-dekad lamanya di Mexico dan menyediakan bertan-tan narkotik ke Amerika Syarikat.

Ketua dadah itu mendarat di Lapangan Terbang MacArthur di Long Island, kata Jabatan Keadilan AS. Televisyen AS menyiarkan gambar beliau yang tiba di luar penjara New York, jalan di luar dipenuhi dengan Marsyal AS yang bersenjata.

Gambar serahan Kementerian Dalam Negeri Mexico menunjukkan Joaquin Guzman Loera atau ‘El Chapo’ dikawal ketat di Ciudad Juarez untuk diekstradisi ke AS, kelmarin. – AFP
Gambar serahan Kementerian Dalam Negeri Mexico menunjukkan Joaquin Guzman Loera atau ‘El Chapo’ dikawal ketat di Ciudad Juarez untuk diekstradisi ke AS, kelmarin. – AFP

Ekstradisi beliau mengakhiri permainan kejar-mengejar di antara pihak berkuasa Mexico dan ketua dadah berusia 59 tahun, yang melepaskan diri dari penjara sebanyak dua kali.

Kejayaannya menjadikannya seorang legenda di dunia penjenayahan Mexico, dengan pemuzik memujinya dalam balada rakyat dikenali sebagai ‘narcocorridos’.

Pendakwa AS berkata peguam persekutuan Brooklyn Robert Capers akan mengadakan persidangan akhbar pada pukul 10 pagi, kurang dua jam sebelum pelantikan Trump, untuk mengumumkan ekstradisi dan tuduhannya. – AFP