Ketua EU jalani pengasingan diri

BRUSSELS, 5 OKT – Presiden Suruhanjaya Eropah (EU) Ursula von der Leyen berkata hari ini beliau akan mengasingkan diri selama sehari setelah mendapat tahu beliau telah bertemu dengan seseorang yang dijangkiti koronavirus baharu.

Bekas menteri pertahanan Jerman itu berkata beliau telah diuji negatif dua kali – sekali pada Khamis lalu dan sekali lagi pada Isnin – tetapi akan meneruskan kuarantin ‘seperti yang ditetapkan oleh peraturan.’

Von der Leyen berkata beliau menghadiri mesyuarat pada Selasa minggu lalu yang dihadiri oleh seorang individu yang diuji positif koronavirus pada Ahad. Ketua eksekutif EU itu tidak menyebut perkara ini dalam pengumuman beliau, tetapi pada hari tersebut beliau melawat Lisbon untuk berunding dengan pegawai kanan Portugal. Apabila beliau berada di Brussels, von der Leyen tinggal dalam pangsapuri kecil di tingkat ke-13 ibu pejabat Berlaymont Suruhanjaya Eropah, bersebelahan dengan pejabatnya.

Mariya Gabriel, pesuruhjaya EU untuk penyelidikan dan inovasi, juga berkata hari ini seorang anggota kumpulannya telah diuji positif dijangkiti virus dan beliau dan anggota kabinetnya sedang menjalani pengasingan diri. – AFP