LONDON, 8 Feb – Pengerusi Persekutuan Bola Sepak (FA) Inggeris, Greg Clarke berikrar untuk memperbaiki pentadbiran badan sukan Inggeris tersebut menjelang perdebatan jawatankuasa parlimen terhadap potensi penggubalan undang-undang untuk memperbaiki organisasi tersebut.
Perdebatan jawatankuasa Budaya, Media dan Sukan (CMS) akan diadakan dalam House of Common pada 9 Februari, dengan usul “tidak yakin” dalam keupayaan FA untuk membuat perubahan.
Ia berlaku empat bulan selepas menteri sukan, Tracey Crouch memberikan FA masa enam bulan untuk memperbaiki lembaga dan majlis atau berisiko kehilangan pembiayaan.
FA, persekutuan bola sepak tertua dunia, berisiko kehilangan sekitar 30 juta pound (AS$37.5 juta, 34.8 juta euro) dari badan pembiayaan Sport England. Tetapi Clarke menegaskan dia bersedia untuk membentangkan perancangan untuk memperbaiki pentadbiran FA dan berkata dia akan meletak jawatan jika cadangan tersebut ditolak oleh Kerajaan.
“Pentadbiran kami perlu perubahan. Kami perlu lebih pelbagai, lebih terbuka dalam membuat keputusan dan kami perlu mewakili mereka yang beraksi dalam sukan itu lebih baik. Tetapi kami tidak akan duduk diam,” kata Clarke dalam kenyataan FA semalam.
“FA perlu membuat cadangan untuk memperbaiki pentadbiram yang akan kami sahkan dan kemudian membawa kepada Menteri Sukan untuk mendapatkan kelulusannya. – AFP