Ketua Foxconn kekal pengerusi, minimum pengaruh

TAIPEI, 15 April – Bos Foxconn, Terry Gou membayangkan hari ini dia akan berundur daripada operasi barisan hadapan namun masih kekal di tampuk pembekal utama Apple.

Firma itu berkata pengasas jutawan itu tidak akan melepaskan peranannya sebagai pengerusi, menyangkal laporan media pada awalnya.

Namun ketua berusia 69 tahun itu berkata rombakan lembaga nanti akan meminimumkan ‘pengaruh peribadinya’.

“Saya masih lagi akan terlibat dan bertanggungjawab bagi hala tuju utama syarikat itu pada masa hadapan namun saya akan mengambil peranan penasihat berhubung operasi harian,” kata Gou semasa forum di Taipei.

“Saya rasa pengaruh peribadi saya perlu dikurangkan sedikit,” tambahnya. Komennya telah die-melkan kepada AFP oleh Foxconn.

Gou juga berkata dia merancang untuk menulis buku mengenai pengalaman pengurusan selama 45 tahunnya untuk diwarisi generasi akan datang.

“Matlamat masa ini saya tetapkan bagi diri saya adalah untuk membolehkan generasi muda nanti belajar untuk menggantikan saya akan datang,” ujarnya.

Apabila ditanya tentang pelan persaraannya pada mesyuarat pemegang saham tahun lalu, Gou berkata dia tidak akan meletak jawatan sehingga harga saham syarikat itu mencecah Tw$200 (AS$6.49).

Juga dikenali sebagai nama rasminya Hon Hai Precision Industry, firma itu adalah kontrak terbesar pembuat elektronik dan memasang iPhones Apple serta gajet bagi jenama antarabangsa lain. – AFP