Ketua geng sindiket dadah Asia tumpas

SYDNEY, 24 JAN – Seorang lelaki yang paling dikehendaki di dunia dan disyaki ketua dalam sindiket jenayah terbesar di Asia telah berjaya ditahan di Belanda, dengan pihak berkuasa Australia memohon ekstradisinya untuk dihadapkan ke mahkamah.

Polis telah memburu suspek ketua geng dadah, Tse Chi Lop, 57, selama bertahun-tahun sehingga penangkapannya oleh polis Belanda pada Jumaat lalu atas permintaan polis persekutuan Australia.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa Australia berkata seorang lelaki ‘yang benar-benar dikehendaki’ dalam penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang telah ditahan. Jurucakap polis mengesahkan namanya sebagai Tse Chi Lop. Warganegara Kanada kelahiran China itu juga digambarkan memiliki persamaan dengan ketua dadah Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman.

Dia dinamakan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sebagai ketua mega-kartel Asia yang dikenali sebagai ‘Sam Gor’, pengeluar utama dan pembekal metamfetamin di seluruh dunia.

Sam Gor dipercayai melakukan pengubahan wang haram melalui perniagaannya di wilayah Mekong Asia Tenggara – termasuk kasino, hotel dan hartanah.

Polis persekutuan Australia berkata penangkapannya pada Jumaat lalu itu melengkapi operasi yang dilakukan pada tahun 2012-2013, di mana seramai 27 orang yang dikaitkan dengan sindiket jenayah yang merangkumi lima negara berjaya ditahan.

Kumpulan itu dituduh mengimport ‘sejumlah besar heroin dan metamfetamin’ ke Australia, yang merupakan pasaran yang menguntungkan bagi pengedar dadah.

“Sindiket itu menyasarkan Australia selama beberapa tahun, mengimport dan mengedar sejumlah besar narkotik haram, melakukan pengubahan wang haram di luar negara dan menjana kekayaan yang diperoleh daripada jenayah,” kata polis Australia. – AFP