LAS VEGAS, 9 Jan – Ketua Intel Brian Krzanich berkata semalam kesan kelemahan yang ditemui baru-baru ini dalam cip komputer adalah terhad disebabkan ‘kerjasama’ yang luar biasa oleh industri teknologi.
Krzanich mengambil langkah luar biasa untuk mengatasi isu keselamatan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar sebelum pembukaan Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas, satu acara industri yang dijangka menarik kira-kira 180,000 orang daripada sektor tersebut.
Krzanich berkata belum ada maklumat yang mencadangkan sebarang kehilangan data daripada kelemahan ‘Meltdown and Spectre’ dan beliau menambah, “Kami bekerja tanpa mengenal penat untuk memastikan ia kekal dalam keadaan tersebut.”
Ketua eksekutif Intel mengeluarkan komen berprofil tinggi sejak pengeluaran penyelidikan yang memaparkan kelemahan yang menjejas cip yang digunakan dalam kebanyakan komputer moden dan peranti telefon bimbit.
“Kerjasama kebanyakan syarikat untuk mengurangkan risiko adalah benar-benar luar biasa,” kata Krzanich.

“Keselamatan merupakan tugas nombor satu untuk Intel dan industri kami. Tumpuan utama perbincangan kami mengenai isu ini ialah mengekalkan data pelanggan kami dalam keadaan selamat.”
Penyelidik di Google menunjukkan bagaimana seorang penggodam boleh mengeksploit kelemahan untuk mendapatkan kata laluan, kod pengekodan dan banyak lagi, walaupun tidak adanya laporan tentang mana-mana serangan yang menggunakan kelemahan berkenaan.
Beberapa penganalisis telah mengingatkan bahawa ancaman tersebut adalah unik kerana ia merupakan satu isu yang menjejaskan perkakasan yang digunakan dalam kebanyakan sistem komputer.
Krzanich berkata pengemaskinian boleh diperoleh untuk kira-kira 90 peratus daripada produknya pada hari-hari akan datang sehingga akhir bulan Januari, dan menyeru semua pengguna komputer supaya membuat pengemaskinian secepat mungkin. – AFP