Ketua junta bertemu orang kuat parti Suu Kyi

YANGON, 5 DIS – Ketua junta Myanmar telah bertemu dengan tokoh kanan terkenal dari parti Aung San Suu Kyi yang disingkirkan hari ini, pertemuan penting pertama sejak rampasan kuasa Februari lalu.

Tentera menggulingkan Suu Kyi dan partinya, Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) daripada kuasa, memaksa ramai sekutu-sekutu politik terdekatnya menyembunyikan diri sementara yang lain ditahan.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing, hari ini, bertemu dengan ahli politik veteran dan orang kuat NLD, Tin On yang dalam tahun-tahun kebelakangan ini berundur daripada arena politik disebabkan usia lanjut dan kesihatan yang tidak baik.

“Min Aung Hlaing memberitahu U Tin Oo bahawa rawatan kesihatan boleh diberikan jika perlu, dan hospital tenteranya akan membantu,” pasukan maklumat junta mengumumkan.

Tin Oo, bekas jeneral tentera berusia 94 tahun dan pengasas bersama NLD, dilihat memakai pin partinya semasa pertemuan dengan Min Aung Hlaing, yang tersenyum dengan pakaian awam.

Ketua junta itu juga bertemu Khin Nyunt, bekas ketua perisikan menjadi perdana menteri sebelum dia ditahan di bawah junta terdahulu. – Bernama