Ketua kartel dadah Knights Templar diberkas

MEXICO CITY, 2 NOV – Polis Mexico City menahan ketua kartel dadah Knights Templar, Francisco Maldonado Bustos yang juga dikenali sebagai Don Jose, lapor Sputnik.

Pada 2016, Pejabat Peguam Negara Mexico mengumumkan ganjaran lebih AS$70,000 untuk maklumat sehingga tertangkapnya Bustos dan pada 2020 pihak berkuasa keselamatan mengesahkan ketua kartel itu sebagai satu daripada dalang utama keganasan di negara itu.

Bustos dilaporkan ditahan pada Isnin di kawasan metropolitan Napoles. Polis menjumpai 153 bungkusan lutsinar, dipercayai mengandungi kokain dan pistol di dalam keretanya, menurut akhbar Tribuna.

Kartel Knights Templar mula muncul pada Januari 2011, mencetuskan perebutan pengaruh antara Knights dan kartel lain iaitu Keluarga Michoacan. Michoacan dianggap sebagai satu daripada pengedar utama dadah dari benua Amerika Selatan ke Amerika Syarikat. – Bernama