Ketua-ketua pengangkutan ASEAN bertukar pandangan tangani pandemik

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Ketua-ketua pengangkutan negara anggota ASEAN dan Jepun telah bertukar-tukar pandangan mengenai langkah-langkah yang telah diambil ke arah menangani pandemik COVID-19 dalam sektor pengangkutan menerusi Persidangan Ketua-Ketua Kanan Pengangkutan ASEAN dan Jepun kali ke-18 yang diadakan melalui persidangan video, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, persidangan berkenaan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) bagi 2020 dan Ketua Pengarah bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Tanah, Infras-truktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT), Jepun, Kawarabayashi Yasuto.

Kenyataan menyatakan, persidangan juga membincangkan perkembangan terkini mengenai projek-projek yang dilaksanakan di bawah Pelan Kerja Perkongsian Pengangkutan ASEAN-Jepun (AJTP), termasuk beberapa inisiatif baharu untuk perlaksanaan Pelan Kerja AJTP bagi tahun 2020 – 2021.

Ini termasuk Laporan Akhir di bawah Strategi Promosi Pelayaran Persiaran ASEAN Jepun, Garis Panduan bagi Penyelenggaraan Selat Navigasi di ASEAN dan Garis Panduan mengenai Langkah-langkah Keselamatan dengan Ships’ Routeing di rantau ASEAN.

Inisiatif-inisiatif baharu bagi 2020-2021 termasuk pembangunan Garis Panduan bagi Kapasiti/Prestasi Penilaian Terminal Kontena di rantau ASEAN, pembangunan Garis Panduan mengenai Perkhidmatan Peruntukan Maklumat Maritim kepada bot-bot kecil di rantau ASEAN dan Pelan Tindakan ASEAN-Jepun mengenai Penambahbaikan Alam Sekitar dalam Sektor Pengangkutan 2021-2025.

Menurut kenyataan, persidangan berkenaan adalah sebagai persediaan bagi STOM + Jepun ke-19 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan Jepun (ATM+Jepun) ke-18 yang akan diadakan pada November depan.

Persidangan yang dianjurkan oleh MLIT itu merupakan platform tahunan bagi ASEAN dan Jepun membincangkan inisiatif-inisiatif utama berkaitan dengan sektor pengangkutan di bawah rangka kerja AJTP.

Haji Mohammad Nazri (tengah) selaku pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) 2020 bersama Kawarabayashi Yasuto. – Gambar serahan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi