Ketua mafia Itali diberkas

MADRID, 5 OGOS – Polis Sepanyol berkata hari ini mereka telah memberkas salah seorang ketua sindiket jenayah terancang paling berpengaruh di Itali, ‘Ndrangheta, yang mengawal sebahagian besar perniagaan kokain di Eropah.

Pegawai menahan Domenico Paviglianiti, ‘salah seorang pelarian paling dikehendaki di Itali,’ di jalan kawasan kelas kerja Madrid Cuatro Caminos dalam operasi bersama yang dijalankan dengan polis Itali, kata Polis Negara Sepanyol dalam satu kenyataan.

Dia sedang membawa dokumen palsu pada masa ditahan serta wang tunai 6,000 euro dan enam telefon bimbit, tambahnya.

Paviglianiti membantu mengawal operasi mafia di utara Itali dan di Amerika Selatan.

Digelar ‘ketua bos’ oleh media Itali atas peranannya dalam jenayah yang dilakukan pada 1980 dan 1990, termasuk pembunuhan dan penyeludupan dadah, Paviglianiti ditahan di Sepanyol pada 1996.

Dia dihantar pulang ke Itali tiga tahun kemudian, di mana dia mula menjalani hukuman penjara seumur hidup, yang biasanya dikenakan ke atas ketua penjenayah mafia.

Kumpulan ‘Ndrangheta berpangkalan di selatan rantau Calabria. Ia dianggap sindiket jenayah paling berpengaruh di Itali disebabkan kekayaan yang dikumpulnya sebagai pengimport dan pemborong utama kokain yang dihasilkan di Latin Amerika dan diseludup ke Eropah menerusi utara Afrika dan selatan Itali. – AFP