Ketua Nissan rancang letak jawatan

TOKYO, 9 SEPT – CEO pengeluar kereta Jepun Nissan merancang meletak jawatan, kata laporan hari ini, tatkala lembaga firma bertemu untuk membincang audit yang dilancarkan selepas penahanan bekas ketua Carlos Ghosn berhubung salah laku kewangan.

Keputusan Hiroto Saikawa untuk meletak jawatan diambil beberapa hari selepas beliau mengaku menerima bayaran lebih, dan memberikan satu tamparan hebat kepada firma selepas penahanan dan penyingkiran Ghosn.

Nissan berkata ia tidak mempunyai komen mengenai laporan itu, yang pertama timbul semalaman.

Masa peletakan jawatan Saikawa, serta siapa yang akan mengganti beliau, dilaporkan belum diputuskan tetapi CEO berkenaan dikatakan telah memaklumkan kepada beberapa eksekutif Nissan tentang keputusan beliau.

Lembaga Nissan, termasuk eksekutif dari rakan gabungan firma Renault, akan bertemu di ibu pejabat syarikat di Yokohama di luar Tokyo pada petang ini.

Perbincangan mereka, yang akan termasuk keputusan audit dalaman Nissan, dijangka ‘berlangsung sehingga lewat malam,” beritahu sumber kepada AFP.

Saikawa disyaki menambah 47 juta yen kepada pampasan beliau dengan mengubah syarat-syarat bonus, menurut laporan.

Nissan belum mengesahkan butir-butir bayaran, namun Saikawa meminta maaf pada minggu lalu, sementara menafi melakukan sebarang kesalahan. – AFP