Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ketua PBB rayu dunia bantu Pakistan

    ISLAMABAD, 9 SEPT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kepada dunia untuk membantu Pakistan selepas beliau tiba di negara itu hari ini untuk meninjau kemusnahan selepas berbulan-bulan dilanda banjir yang mengakibatkan setengah juta orang penduduk terpaksa tinggal dalam khemah.

    Kunjungan tersebut dibuat dua minggu selepas Guterres merayu untuk dana kecemasan sebanyak AS$160 juta bagi membantu mereka yang terkesan oleh hujan monsun dan banjir yang menyebabkan kerosakan yang bernilai dianggarkan AS$10 bilion dan 1,391 kematian.

    Bantuan antarabangsa masih dalam perjalanan, termasuk bantuan yang dijanjikan oleh Amerika Syarikat bernilai AS$30 juta.

    “Saya telah tiba di Pakistan bagi melahirkan rasa tanggungjawab untuk rakyat Pakistan selepas banjir teruk yang melanda. Saya menyeru untuk bantuan besar-besaran daripada komuniti an-tarabangsa ketika Pakistan berdepan dengan bencana alam,” tulisnya melalui Twitter.

    Minggu lalu, Ketua PBB mengeluarkan amaran mengenai kesan perubahan iklim.

    “Mari berusaha untuk menghentikan kemusnahan planet yang dibawa oleh perubahan iklim,” dia berkata dalam pesanan video. “Hari ini, ia melanda Pakistan, Esok, ia mungkin melanda negara awda.”

    Menteri Maklumat Pakistan, Maryam Auragzeb dalam kenyataannya menyatakan terima kasih kepada ketua PBB atas lawatannya ke Pakistan ketika negara itu satu pertiga daripadanya ditenggelami air.

    Lawatan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan krisis bagi mangsa banjir di peringkat global.

    “Lawatan ini juga membantu untuk memberi kesedaran mengenai akibat buruk perubahan iklim,” katanya, dan menggesa komuniti antarabangsa untuk meningkatkan usaha membantu negara-negara miskin yang terkesan oleh banjir dan bencana alam.

    Aurangzeb berkata Guterres akan diberikan taklimat daripada pegawai-pegawai Pakistan mengenai kemusnahan akibat banjir, sebelum memberikan ucapan pada sidang media bersama Perdana Menteri, Shahbaz Sharif di Islamabad, hari ini. – AFP

    Penduduk di Sukkur, wilayah Sindh, Pakistan tinggal di penempatan sementara selepas kejadian banjir buruk yang melanda negara itu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...