Ketua PBB sedia bantu Venezuela

AMERIKA SYARIKAT, 12 Feb – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin memperbaharui tawarannya untuk menjadi orang tengah bagi menamatkan krisis di Venezuela semasa rundingan bersama menteri luar negara.

Guterres mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar, Jorge Arreaza di New York, atas permintaan Caracas tatkala pertikaian antara Presiden Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang, Juan Guaido semakin memuncak. PBB menggesa untuk mengadakan rundingan politik yang serius antara kedua-dua belah pihak bagi mengelakkan daripada berlakunya lebih banyak keganasan di negara Amerika Selatan itu.

“Setiausaha agung menegaskan bahawa tawaran untuk kedua-dua belah pihak sentiasa ada untuk rundingan yang lebih serius bagi membantu negara itu keluar daripada pertikaian yang sedang berlaku untuk kebaikan rakyat Venezuela,” menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara bulan lalu dan diiktiraf oleh kira-kira 50 buah negara, termasuk Amerika Syarikat.

Rusia dan China, bagaimanapun terus menyatakan sokongan terhadap Maduro, sama seperti beberapa buah negara Afrika yang lain sekali gus mencetuskan perpecahan sejagat yang menyebabkan PBB bingung.

Minggu lalu, ketua PBB berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana inisiatif yang dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan negara bagi menyakinkan kredibiliti tawarannya.

Guterres mengakui bahawa kedua-dua belah pihak perlu meminta untuk beliau menjadi pengantara sebelum melibatkan diri. – AFP

Guterres berucap semasa persidangan Kesatuan Afrika ke-32 di Addis Ababa baru-baru ini. Beliau memperbaharui tawarannya untuk menjadi orang tengah bagi menamatkan krisis di Venezuela. – AFP