Ketua PBB umum ‘perang’ ke atas COVID-19

GENEVA, 24 MEI – Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengumumkan dunia ‘berperang’ menentang COVID-19, ketika jumlah kematian di India mencecah 300,000 manakala Jepun membuka pusat vaksinasi besar-besaran yang pertama – kira-kira dua bulan sebelum permulaan Olimpik.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan logik masa perang terhadap ketaksamaan ketara dalam respons kepada pandemik, memberi amaran krisis itu belum lagi berakhir meskipun kempen vaksinasi meluas di negara-negara kaya di dunia.

“Kecuali kita bertindak sekarang, kita berdepan situasi di mana negara-negara kaya memvaksin majoriti rakyat mereka dan membuka ekonomi mereka, namun virus masih lagi berleluasa sehingga menyebabkan penderitaan masih lagi berlingkar dan bermutasi di negara-negara miskin,” katanya.

Wabak maut di India, Brazil dan tempat lain telah menambahkan jumlah kematian global melebihi 3.4 juta, walaupun negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Britain dan Israel telah mengurangkan sekatan.

Bercakap di samping Guterres semasa perhimpunan tahunan utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata beliau mahu 10 peratus penduduk di setiap negara divaksinasi menjelang September.

Gabungan gambar menunjukkan ketua PBB, Antonio Guterres (atas, tengah) dan ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus (tengah) bersama pemimpin dan tokoh negara lainnya semasa perhimpunan agung WHO pada 24 Mei di Geneva. – AFP

Beliau juga memberi penghormatan kepada hampir 115,000 kakitangan dan pekerja kesihatan yang meninggal dunia akibat COVID-19 sejak bermulanya pandemik.

“Mereka telah menyelamatkan ramai nyawa dan berjuang untuk yang lainnya, meskipun mereka sudah berusaha sebaik mungkin, namun tetap juga kecundang,” katanya, menggambarkan kehilangan pekerja perubatan akibat pandemik sebagai ‘pengorbanan terbesar dalam memberi perkhidmatan kepada yang lain’.

Menurutnya, ramai kakitangan perubatan berasa ‘kecewa, tidak berupaya dan tidak dilindungi, dengan kekurangan akses kepada peralatan perlindungan peribadi dan vaksin’.

“Jumlah dos yang diberikan secara global setakat ini mungkin akan mencukupi untuk melindungi semua kakitangan kesihatan dan orang tua jika ia diagihkan secara sama rata,” tambah Tedros.

Lebih 75 peratus semua vaksin COVID-19 hanya telah dimiliki oleh 10 negara. – AFP