Ketua pembangkang Rusia diracun

MOSCOW, 20 OGOS – Ketua pembangkang Rusia, Alexei Navalny dilaporkan tidak sedarkan diri dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital selepas didakwa diracun, kata jurucakapnya.

Kira Yarmysh berkata Navalny sedang dalam perjalanan dari Siberia ke Moscow sebelum pesawatnya melakukan pendaratan kecemasan setelah dia jatuh sakit.

“Alexei mengalami keracunan toksik. Alexei kini dalam rawatan intensif,” tulisnya di Twitter.

Yarmysh berkata, “Kami berpendapat Alexei diracun dengan sesuatu yang dicampurkan dalam tehnya. Itu satu-satunya yang dia minum pada waktu pagi.”

“Doktor berkata racun itu cepat diserap melalui cecair panas,” katanya.

Navalny berada di ICU untuk pesakit toksikologi di Omsk Emergency Hospital No. 1, demikian disahkan oleh agensi berita negeri TASS.

Pemimpin berusia 44 tahun itu, yang terkenal dengan kempen antirasuah terhadap pegawai atasan selain mengkritik secara terang-terangan terhadap Presiden Vladimir Putin pernah mengalami serangan fizikal sebelum ini.

Beliau mengalami luka terbakar di matanya pada 2017 apabila penyerang mencurahkan pewarna hijau yang digunakan sebagai pembasmi kuman dalam satu kejadian di luar pejabatnya. – AFP

Gambar fail menunjukkan Alexei Navalny menyampaikan ucapan kepada penyokong semasa rapat anti-Putin di Moscow. – AFP